Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura rintis guna gas asli sisa organik ganti gas fosil mulai 2028
Keppel Energy, Sembcorp Utilities dan Tuas Power Generation dilantik import, bekal bahan api
S’pura rintis guna gas asli sisa organik ganti gas fosil mulai 2028
Menjelang 2028, Singapura mungkin mula menggunakan biometana, bahan api rendah karbon berbanding gas fosil, untuk menjana tenaga elektrik.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, mengumumkan pada 23 Oktober Keppel Energy, Sembcorp Utilities dan Tuas Power Generation dilantik untuk mengimport dan membekalkan biometana menerusi satu projek rintis.
Biometana pula dihasilkan daripada bahan organik seperti sisa makanan, pertanian, najis haiwan dan sisa kumbahan.
Ia dianggap sebagai bahan api boleh diperbaharui dan boleh digunakan dalam prasarana gas asli semasa tanpa pengubahsuaian yang mahal.
Gas asli daripada bahan api fosil kini menjana 95 peratus tenaga elektrik Singapura.
Pengumuman itu dibuat oleh Encik Gan semasa Forum Penyahkarbonan Industri Singapura, anjuran Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dengan kerjasama Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star) dan Pejabat Tenaga Termaju dan Penyahkarbonan.
Pejabat itu merupakan wadah nasional Singapura yang menyelaras dan menyokong penyelidikan, pembangunan serta pengujian teknologi bagi mencapai matlamat penyahkarbonan negara.
Beberapa inisiatif bagi membantu Singapura mengurangkan jejak karbon turut diumumkan pada acara tersebut.
Forum itu mengumumkan inisiatif pembiayaan $143 juta bagi memajukan penyahkarbonan industri.
Singapura menyasarkan pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050, dengan sektor tenaga elektrik dan perindustrian memainkan peranan penting.
“Sektor perindustrian kita menyumbang kira-kira 65 peratus daripada pelepasan negara, termasuk pelepasan daripada penggunaan tenaga elektrik,” kata Encik Gan yang juga merangkap Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan).
“Kita tidak dapat mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 tanpa pengurangan ketara pelepasan ini.”
Beliau menegaskan bahawa pengurangan pelepasan perlu dilaksanakan sambil mengekalkan daya saing industri menerusi kerjasama penyelidikan dan pembangunan teknologi rendah karbon.
Menerusi projek perintis itu, syarikat penjanaan elektrik akan mengimport biometana sehingga 300 megawatt (MW) daripada sumber serantau dan antarabangsa, cukup untuk memenuhi keperluan sekitar 600,000 isi rumah estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Biometana atau tenaga elektrik daripadanya akan dibekalkan kepada pusat data dan pengilang industri yang lazimnya menghasilkan pelepasan tinggi.
Menurut EDB, projek selama 15 tahun itu merupakan yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.
Pelantikan tiga syarikat tersebut merupakan sebahagian daripada persekitaran ujian kawal selia yang diumumkan pada Oktober 2025 bagi menguji aturan komersial, kawal selia dan operasi import biometana.
Hasilnya akan membantu membentuk rangka kerja penggunaan biometana secara lebih meluas.
Encik Gan berkata $143 juta diperuntukkan bagi membangunkan teknologi rendah karbon dan membawanya ke pasaran.
Kegiatan seperti pengeluaran petrokimia, penapisan dan pembakaran bahan api menghasilkan pelepasan tinggi, namun penyelesaian yang tersedia di pasaran masih terhad.
Inisiatif pembiayaan itu memberi tumpuan kepada pemerangkapan karbon, penggunaan semula karbon untuk menghasilkan produk seperti konkrit, serta teknologi baharu termasuk penyimpanan karbon dan pengurangan gas rumah hijau selain karbon dioksida.
Menurut EDB, Inisiatif Pembiayaan Penyahkarbonan Industri baharu itu akan menumpukan pada penyelesaian dalam tiga bidang.
Bidang tersebut meliputi pemerangkapan karbon daripada gas ekzos sebelum dilepaskan ke atmosfera, serta penggunaan karbon yang diperangkap dalam proses lain atau untuk menghasilkan produk seperti konkrit.
Bidang ketiga merangkumi teknologi penyahkarbonan baharu dan yang sedang dibangunkan, termasuk penyimpanan karbon serta pengurangan pelepasan gas rumah hijau selain karbon dioksida daripada proses perindustrian.
Daripada $143 juta itu, sehingga $100 juta diperuntukkan bagi penyelidikan dan pembangunan yang diterajui syarikat, termasuk syarikat pemula niaga dan penyedia teknologi.
Program Penyelidikan Penyahkarbonan bagi Industri, Usaha Niaga dan Perusahaan (Drive) akan menggalakkan kerjasama industri dengan institusi penyelidikan, memastikan kajian dalam bidang tersebut menghasilkan penyelesaian yang dapat diterapkan dalam dunia sebenar.
Pemerintah akan membiayai bersama sehingga 75 peratus kos projek yang layak. Permohonan dibuka pada 23 Oktober.
Sementara itu, pembinaan Kemudahan Ujian dan Penerapan Teknologi Rendah Karbon (LCT3) bernilai $62 juta dimulakan di Pulau Jurong pada hari sama.
Pengguna pertamanya, Amogy, IHI Corp dan Metha8, masing-masing akan membangunkan teknologi penghasilan hidrogen daripada ammonia, bahan api penerbangan mampan daripada karbon dioksida dan penjanaan elektrik daripada metanol.
Kemudahan itu akan ditempatkan di Institut Kemampanan bagi Kimia, Tenaga dan Persekitaran (ISCE2) A*Star.
Penolong Ketua Eksekutif A*Star, Profesor Lim Keng Hui, berkata LCT3 membolehkan teknologi yang berjaya diuji di makmal membuktikan keandalannya dalam keadaan industri sebenar tanpa syarikat perlu membina kemudahan sendiri.