Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vivian: Gencatan senjata Israel-Hamas beri ruang hantar bekalan bantuan

Bekalan kemanusiaan yang ketujuh bagi Gaza merangkumi perubatan, makanan dan produk kebersihan wanita
Feb 12, 2025 | 2:24 PM
(Empat dari kanan, depan) Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dalam sesi ucap selamat tinggal bersama anggota yang terlibat ke Amman, Jordan, bagi misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza sambil ditemani Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (di sebelah kanan Dr Balakrishnan), serta pegawai dari badan-badan lain.
(Empat dari kanan, depan) Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dalam sesi ucap selamat tinggal bersama anggota yang terlibat ke Amman, Jordan, bagi misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza sambil ditemani Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (di sebelah kanan Dr Balakrishnan), serta pegawai dari badan-badan lain. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Gencatan senjata antara Israel dengan Hamas yang berkuatkuasa sejak 19 Januari telah membuka ruang bagi penghantaran bekalan bantuan yang mendesak bagi orang awam di Gaza, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Ini lebih-lebih lagi sedang Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memberi amaran pada 11 Februari untuk menamatkan gencatan senjata pada 15 Februari sekiranya Hamas tidak membebaskan tebusannya.

Untuk memanfaatkan ruang atau tempoh ini yang boleh berubah, Singapura telah menghantar bekalan kemanusiaan yang ketujuh bagi Gaza, yang diharap dapat memberi manfaat penduduk Gaza yang terjejas sejak tercetusnya konflik Israel-Hamas pada Oktober 2023.

Beliau berkongsi demikian kepada pihak media di Pangkalan Udara Changi (Timur) dalam sesi ucap selamat jalan kepada anggota yang menghantar bantuan tersebut menggunakan pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) pada 12 Februari.

Pesawat itu berlepas daripada pangkalan tersebut pada 8.14 pagi dan dijangka tiba di Amman, Jordan, sekitar 7 malam (waktu Singapura).

Bekalan bantuan kali ini merangkumi perubatan, makanan dan produk kebersihan wanita.

“Kami berharap dalam tempoh ini, sedang gencatan senjata masih berkuatkuasa, bekalan sedemikian dapat dihantar kepada orang awam yang (dalam keadaan) benar-benar memerlukan.

“Ini adalah satu tragedi… (dengan) keperluan kemanusiaan yang mendesak,” ujar Dr Balakrishnan.

Beliau sebelum ini mengumumkan bantuan kemanusiaan yang ketujuh ini dalam sidang Parlimen pada 4 Februari.

Dr Balakrishnan turut memberi penekanan bahawa Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) akan giat memulakan pengumpulan dana selanjutnya bagi Gaza semasa Ramadan pada Mac.

Di samping itu, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, yang turut hadir dalam sesi itu, berkongsi bahawa sebanyak sembilan tan bekalan akan diserahkan kepada Pertubuhan Amal Jordan Hashemite (JHCO) di Amman untuk disalurkan ke Gaza.

Beliau akan ke Amman untuk menghantar bantuan tersebut kepada rakan di Jordan, sambil menambah bahawa pihaknya sedang memantau perkembangan yang berlaku di Timur Tengah secara lebih dekat.

Encik Zaqy menyifatkan bantuan yang diberikan kali ini sangat bertepatan dengan Ramadan yang bakal menjelang pada Mac, yang dapat meredakan sedikit tekanan terhadap mereka yang terjejas dengan krisis kemanusiaan pada masa kini.

Menyentuh berkenaan pemberian sumbangan bantuan kali ini, pengasas dan ketua pegawai eksekutif badan bukan pemerintah (NGO) Relief Singapore, Encik Jonathan How, berkata sambutan orang awam di sini “begitu hebat”.

Ini memandangkan pasukannya hanya ada dua hari untuk membuat persiapan pengumpulan sumbangan – yang diadakan pada 19 Januari.

Selain Relief Singapore, sumbangan turut diberikan Caritas Humanitarian Aid and Relief Initiative Singapore (Charis), Mercy Relief dan Kementerian Kesihatan (MOH).

Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Serantau Changi (RHCC) Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menerajui usaha menyelaras dan menyatukan sumbangan bekalan bantuan kemanusiaan daripada badan-badan sedemikian.

Dengan edisi bantuan terkini, Singapura telah menghulurkan bantuan bernilai lebih $19 juta ke Gaza sejauh ini.

Pada Januari lalu, Singapura menghulurkan bantuan kemanusiaan yang keenam bernilai sekitar $1.3 juta kepada Gaza, hasil kempen pengumpulan dana RLAF di Singapura.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, telah menyerahkan cek $1.3 juta itu kepada pihak di Jordan ketika kunjungannya ke sana pada 21 Januari.

Turut hadir pada sesi selamat tinggal pada 12 Februari ialah Duta Besar Jordan ke Singapura, Encik Samer Anton Naber; Duta Bukan Bermastautin Singapura ke Jordan, Encik Shamsher Zaman; dan wakil bukan bermastautin Singapura ke Palestin, Encik Hawazi Daipi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg