Kementerian Undang-Undang (MinLaw) Singapura telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MOU) dengan Pusat Daya Saing Nasional (NCC) Arab Saudi, yang bertujuan mempertingkat daya saing serta membina keupayaan dalam pelbagai sektor, khususnya dalam bidang perundangan.
Menerusi satu kenyataan, MinLaw berkata MOU itu telah ditandatangani oleh Menteri Undang-Undang yang juga Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong, serta Menteri Perdagangan Saudi, Dr Majid Al-Kassabi, menerusi satu upacara di dalam talian pada 25 Mei.
Perjanjian kerjasama ini merupakan MOU ketiga dimeterai MinLaw dengan Saudi dalam tempoh dua tahun.
Encik Tong berkata perjanjian itu akan memperkukuh kerjasama strategik kedua-dua negara melalui pertukaran ilmu serta pengalaman, di samping membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan serta pengamal undang-undang dari Singapura dan Saudi.
“Kami komited untuk meningkatkan kerjasama undang-undang dengan negara yang sehaluan untuk mempertingkat persekitaran undang-undang secara keseluruhan, memupuk pertumbuhan ekonomi dan menggalak kerjasama dalam persekitaran antarabangsa yang semakin mencabar,” ujarnya.
Di bawah MOU itu, kedua-dua negara akan antara lain bertukar-tukar kepakaran dan pengalaman mengenai cabaran perundangan serta prosedur yang menjejas daya saing kedua-dua negara di peringkat antarabangsa.
Kerjasama ini juga memberi tumpuan terhadap usaha pembangunan dan perkongsian pengetahuan berkaitan daya saing bagi sektor ekonomi, perkembangan dan sosial.
Menurut kenyataan itu, MinLaw dan NCC akan melaksana kerjasama tersebut menerusi lawatan oleh pegawai dan pakar, seminar, kursus latihan dan bengkel selain pertukaran data dan maklumat relevan.
Sebuah kumpulan kerja akan turut dibentuk untuk mempersiap dan menyemak kegiatan serta program di bawah MOU ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg