Topic followed successfully
Go to BHkuS’pura sertai sesi dialog hak asasi manusia pada Mei
S’pura sertai sesi dialog hak asasi manusia pada Mei
S’pura sertai sesi dialog hak asasi manusia pada Mei
Singapura akan turut serta dalam acara Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland, pada 12 Mei.
Delegasi Singapura akan diketuai Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam, ujar kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 6 April.
Ini adalah kali keempat Singapura menyertai UPR – sesi dialog yang bakal menyaksikan Singapura, sebagai negara anggota, diberi peluang menyemak perihal hak asasi manusia anggota negara lain.
Negara anggota lain juga akan menyemak dan memberi saranan kepada Singapura perihal hak asasi manusia negara ini setelah Singapura mengemukakan Laporan Nasional pada Januari 2026, tambah MFA.
Laporan tersebut membentangkan tentang hak asasi manusia di Singapura buat masa kini dan peningkatan yang telah dilakukan negara ini sejak edisi UPR terdahulu pada 2021.
Sebagai persiapan bagi UPR kali ini, MFA berkata ia telah menjangkau “pelbagai lapisan pertubuhan masyarakat” terhadap isu yang dibentangkan dalam Laporan Nasional itu.
Laporan tersebut antara lain menyentuh tentang pelbagai dasar yang telah dilaksanakan sebagai usaha menegakkan hak asasi manusia Singapura, termasuk dari segi usaha memperkukuhkan keterangkuman, perpaduan dan daya tahan di sini.
“Singapura menyertai proses UPR secara membina sebagai negara anggota PBB yang bertanggungjawab.
“Kami berharap kami dapat terus terlibat dalam sesi dialog bersama negara anggota PBB dan pertubuhan masyarakat sivil berkaitan cara kami dapat terus meningkatkan kehidupan di Singapura, berpandukan pendekatan pragmatik dan hasil nyata terhadap hak asasi manusia,” tambah MFA.
Sesi UPR sebelum ini menyaksikan negara anggota mengetengahkan lebih 300 saranan kepada Singapura, dengan sekitar dua pertiga daripada saranan itu diterima pakai republik ini.

