Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura sumbang hampir $65,000 bantu Venezuela pulih selepas gempa
S’pura sumbang hampir $65,000 bantu Venezuela pulih selepas gempa
S’pura sumbang hampir $65,000 bantu Venezuela pulih selepas gempa
Pemerintah Singapura telah menyumbang $64,700 bagi membantu usaha pemulihan dan pembinaan semula Venezuela selepas dua gempa bumi kuat melanda negara itu pada 24 Jun, mengorbankan lebih 3,500 individu dan menyebabkan ribuan yang lain kehilangan tempat tinggal.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 8 Julai, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, berkata bahawa dana tersebut akan disalurkan kepada Dana Pemulihan dan Pembinaan Semula Venezuela, yang ditubuhkan oleh Bank Pembangunan Amerika Latin dan Caribbean.
Dr Balakrishnan berkata bencana tersebut telah “membawa kehilangan dan penderitaan yang amat besar”, sambil menambah bahawa Singapura sentiasa memperingati keluarga yang kehilangan orang tersayang, mangsa cedera, serta seluruh masyarakat yang sedang berusaha untuk memulihkan dan membina semula negara itu.
“Singapura berdiri teguh bersama rakyat Venezuela dalam menempuh masa yang sukar ini,” kata beliau.
Pada Jun, Persatuan Palang Merah Singapura telah memperuntukkan bantuan kemanusiaan sebanyak $100,000 bagi menyokong usaha tindak balas di Venezuela.
Ia termasuk operasi mencari dan menyelamat, rawatan perubatan kecemasan, serta penilaian segera terhadap keperluan kemanusiaan di kawasan yang paling teruk terjejas.
Dalam hantaran tersebut, Dr Balakrishnan turut menggesa mereka yang ingin memberi sumbangan untuk berbuat demikian melalui Persatuan Palang Merah Singapura.
“Di saat berlakunya tragedi, sokongan dan solidariti daripada masyarakat antarabangsa amatlah bermakna.
“Semoga ketabahan dan perpaduan rakyat Venezuela dapat membantu mereka mengharungi tempoh yang sukar ini,” ujar beliau.
Menurut laporan agensi berita Reuters, angka korban akibat gempa bumi di Venezuela telah meningkat kepada 3,535 orang setakat 6 Julai.
Kiraan rasmi terbaru melaporkan terdapat 16,740 orang tercedera dan 17,854 yang lain kehilangan tempat tinggal.
Dua gempa bumi pada 24 Jun itu berlaku hanya dalam jarak beberapa saat, dengan kekuatan masing-masing bermagnitud 7.2 dan 7.5, menjadikannya antara gempa bumi paling kuat yang pernah melanda Venezuela dalam tempoh lebih seabad.
Ia menyebabkan kerosakan besar di Caracas serta La Guaira, kawasan pesisir yang paling teruk terjejas.
Sebelum gempa itu berlaku, Venezuela sudah pun bergelut dengan krisis ekonomi dan pergolakan politik yang melemahkan prasarana serta perkhidmatan kesihatan negara itu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kerosakan akibat gempa tersebut mencecah $8.6 bilion, bersamaan kira-kira enam peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Venezuela.
