Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vivian: Bantuan S’pura untuk Gaza bukan simbolik semata-mata

Nov 6, 2025 | 7:44 PM
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan bercakap kepada media Singapura untuk menggulung lawatan kerja ke Wilayah Palestin dan Israel pada 6 November. Bersama beliau ialah Anggota Parlimen (AP) (kiri) Cik Hazlina Halim dan Encik Yip Hon Weng.
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan bercakap kepada media Singapura untuk menggulung lawatan kerja ke Wilayah Palestin dan Israel pada 6 November. Bersama beliau ialah Anggota Parlimen (AP) (kiri) Cik Hazlina Halim dan Encik Yip Hon Weng. - Foto BH oleh AZMI ATHNI

Bantuan yang dihulurkan oleh Singapura kepada Gaza bukan perbuatan simbolik semata-mata tetapi adalah sumbangan sebenar yang memberi manfaat dan dihargai rakyatnya, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

“Kita tidak boleh mengubah sejarah, tetapi kita boleh melakukan sesuatu yang bermanfaat dan dihargai oleh orang di sini… apabila kita menghulur bantuan dengan cara yang jujur dan membina,” kata Dr Balakrishnan.

Berkongsi perbincangan beliau semasa bertemu dengan para pemimpin Israel, Dr Balakrishnan berkata beliau menyampaikan pesanan para pemimpin Palestin, iaitu untuk Palestin dan Israel mengadakan rundingan secara langsung untuk merancang bagi masa depan.

“Ini kerana mereka terjerat dalam keganasan berulang yang tidak membina, sebagaimana yang telah kita lihat dalam tempoh dua tahun yang lalu menyebabkan kesengsaraan dan hilang harapan, terutama dalam kalangan generasi lebih muda,”

Merujuk kepada hujah Menteri Ehwal Luar dan Ekspatriat Penguasa Palestin, Dr Varsen Aghabekian, semasa Dr Balakrishnan berada di Ramallah, Tebing Barat, baru-baru ini, Dr Balakrishnan berkata rakyat Palestin menghargai sumbangan Singapura, sama ada melalui cara yang boleh dihitung atau tidak.

“Ia berkaitan dengan kita menunjukkan ada masa depan berdamai yang lebih baik jika orang daripada agama dan yang menggunakan bahasa berbeza dapat hidup bersama,” kata Dr Balakrishnan lagi.

Menambah, beliau berkata bantuan Singapura bukan huraian menyeluruh yang diperlukan Gaza, yang antara lain perlu perundingan antara pihak berkepentingan, komitmen untuk berdamai dan menolak keganasan serta komitmen untuk membina masa depan yang dikongsi bagi jangka panjang.

Dr Balakrishnan berkata demikian semasa bercakap kepada media dari Singapura pada 6 November, untuk menggulung lawatan kerja ke Wilayah Palestin dan Israel. Ini adalah kali keempat beliau ke rantau itu sejak 2016 dan kali kedua sejak insiden 7 Oktober 2023.

Semasa lawatan tiga hari itu, Dr Balakrishnan telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin dari kededua Palestin dan Israel, termasuk berjumpa dengan Perdana Menteri Penguasa Palestin, Dr Mohammad Mustafa, dan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.

Di Ramallah, Dr Balakrishnan telah menyaksikan majlis penyerahan cek bernilai AS$500,000 ($652,000) daripada pemerintah Singapura kepada Program Makanan Sedunia (WFP) di Palestin. 

View post on TikTok

Di acara itu, Dr Aghabekian telah berkata bantuan kemanusiaan yang diberikan oleh Singapura kepada Palestin, serta pertolongan untuk membangun keupayaan pemimpinnya menerusi latihan telah memanfaatkan rakyat Palestin. Selain itu, ia juga memberi manfaat tambahan iaitu menyala semangat warga Palestin untuk bangkit dan membina semula kehidupan mereka, ujar beliau.

Buat masa ini, Singapura telah menghantar 10 pakej bantuan kemanusiaan bernilai lebih $24 juta untuk membantu warga awam Palestin.

Ini termasuk bantuan yang digugurkan dua kali dari udara oleh Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan pengerahan pasukan perubatan bagi merawat mangsa.

Dr Balakrishnan turut mengumumkan dua lagi kursus yang akan dianjurkan Singapura untuk membantu Penguasa Palestin membangun semula Gaza.

Dua kursus itu, yang bakal ditawarkan di bawah Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap) yang sedia ada merangkumi ekonomi digital dan keusahawanan digital.

Lawatan Dr Balakrishnan ke Wilayah Palestin dan Israel diadakan kurang sebulan selepas fasa pertama gencatan senjata antara Israel dengan Hamas di Gaza dilaksanakan pada 10 Oktober.

Pada 7 Oktober 2023, Hamas menyerang Israel, membunuh 1,200 orang dan menculik lagi 251 individu.

Serangan itu mencetus serangan balas oleh Israel di Gaza, membunuh lebih 68,000 warga Palestin, termasuk kanak-kanak.

“Imej (dari Gaza) amat dahsyat dan sesiapa yang berperi kemanusiaan akan terluka dan menitiskan air mata,” kata Dr Balakrishnan.

“Apa yang boleh kita lakukan dengan cara kecil kita... untuk memastikan kita kurangkan kemungkinan perkara sedemikian berterusan atau berulang... dan pastikan kita tidak akan mengalaminya.”

Dalam pada itu Dr Balakrishnan berkata hubungan kukuh antara Singapura dengan Israel dan Palestin membolehkan Singapura terus menghulur bantuan yang dimampui, selain bersikap terus terang kepada kededua negara itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg