Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Satelit penderiaan jauh M’sia, ‘UzmaSAT-1’ dilancar di AS

Jan 15, 2025 | 1:00 PM
Satelit penderiaan jauh ‘UzmaSAT-1’, keluaran syarikat tempatan dari Malaysia, Uzma Berhad, dilancarkan ke orbit rendah bumi pada 15 Januari, menerusi roket ‘Falcon 9 Transporter 12’ milik syarikat SpaceX.
Satelit penderiaan jauh ‘UzmaSAT-1’, keluaran syarikat tempatan dari Malaysia, Uzma Berhad, dilancarkan ke orbit rendah bumi pada 15 Januari, menerusi roket ‘Falcon 9 Transporter 12’ milik syarikat SpaceX. - Foto SPACEX

PUTRAJAYA: Satelit penderiaan jauh UzmaSAT-1, keluaran syarikat Malaysia, Uzma Berhad, dilancarkan ke orbit rendah bumi pada awal pagi 15 Januari, menerusi roket Falcon 9 Transporter 12 milik syarikat SpaceX.

Pelancaran pada 3 pagi waktu Malaysia di Vandenberg Space Force Base, California, Amerika Syarikat, itu menjadikan UzmaSAT-1 roket ke-13 yang berada di bawah pengawasan Malaysia.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dalam satu kenyataan pada 15 Januari, berkata selaku peneraju Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030), kementerian melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) sentiasa komited dalam menyokong usaha pemain industri tempatan dalam meneroka kegiatan pembangunan sektor angkasa negara yang berdaya saing dan mampan.

Kejayaan pelancaran satelit keluaran Uzma itu adalah satu lagi petunjuk kepada kejayaan pelaksanaan DAN2030 yang dilancarkan pada 2023.

UzmaSAT-1, sebuah satelit beresolusi tinggi seberat 45.4 kilogram dijangka mampu menyediakan data dan maklumat permukaan bumi Malaysia, bagi meningkatkan operasi pemantauan seterusnya memberi kesan signifikan dalam memperkasa pengurusan keselamatan makanan, keselamatan dan pertahanan negara.

Menurut Mosti, penggunaan prasarana negara sedia ada melalui kerjasama strategik dalam aspek pengoperasian satelit berkenaan dijangka dapat mengoptimumkan pengurusan imej-imej berkaitan Malaysia serta mampu meningkatkan kepelbagaian penggunaannya, lapor Berita Harian Malaysia.

Kejayaan pelancaran dan pengoperasian UzmaSAT-1 ini adalah antara manifestasi terhadap penyertaan aktif pemain industri tempatan dalam kegiatan berkaitan angkasa yang mampu meningkatkan daya saing dan inovasi berterusan, menjimatkan perbelanjaan kerajaan serta menyumbang kepada pembentukan sumber ekonomi angkasa baru negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Geospatial AI, Encik Mohammad Fadhli Jamaluddin, berkata UzmaSAT-1 dilengkapi kamera berteknologi tinggi dengan sensor multi-spectral band, termasuk sensor RGB (merah, hijau, biru) dan inframerah dekat yang mampu memberikan data terperinci untuk pelbagai kegunaan.

Beliau berkata UzmaSAT-1 direka dengan keupayaan untuk menyokong pelbagai sektor di Malaysia termasuk pertanian, perladangan, pengurusan bencana dan pemantauan alam sekitar seperti banjir.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sirim Berhad, Datuk Ahmad Sabirin Arshad, pula percaya inisiatif dilaksanakan Uzma Bhd mampu menjadi cetusan baru kepada ekonomi Malaysia dan dunia, selain diplomasi teknologi sejajar Malaysia sebagai Pengerusi Asean pada 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg