Singapura dan Sweden menandatangani lima memorandum persefahaman (MOU) merangkumi pelbagai bidang seperti penerbangan, teknologi pertahanan, tenaga, pengangkutan dan inovasi kesihatan semasa lawatan negara Raja Carl XVI Gustaf dari Sweden.
MOU tersebut menyerlahkan kolaborasi yang luas antara Singapura dengan Sweden serta menjadi asas bagi kerjasama yang lebih mendalam dalam bidang-bidang kepentingan bersama, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan pada 21 November.
Raja Sweden itu berada di sini dalam lawatan selama tiga hari dari 19 hingga 21 November.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa bertemu Raja Carl XVI pada 21 November, mengesahkan kerjasama yang kukuh antara Singapura dengan Sweden, baik secara dua hala mahupun di peringkat antarabangsa.
Beliau turut menyaksikan pertukaran MOU yang dimeterai kededua pihak.
Antara MOU yang ditandatangani termasuk meminda Memorandum Persefahaman Teknologi Pertahanan antara kededua negara.
Pindaan yang dibuat oleh Kementerian Pertahanan Singapura dan Sweden itu adalah bagi memperluas kerjasama kededua negara dalam inovasi pertahanan.
Ia juga bertujuan memupuk kerjasama antara syarikat pemula, syarikat kecil dan sederhana (SME), dan universiti di kedua-dua negara bagi membangunkan teknologi yang dapat memperkukuh keupayaan pertahanan bersama.
Turut ditandatangani adalah MOU antara Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Luftfartsverket.
MOU dengan pengendali Perkhidmatan Navigasi Udara Sweden, Luftfartsverket (LFV), itu dimeterai untuk mempertingkatkan keupayaan pengurusan trafik udara (ATM) Singapura-Sweden.
Mereka akan bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) – khususnya dalam usaha digitalisasi, automasi, pengurusan prestasi, keselamatan, dan penerbangan hijau, bagi meningkatkan kecekapan, keselamatan dan kapasiti – yang menyumbang ke arah merealisasikan projek Seamless Sky di Rantau Asia Pasifik dan Single European Sky di Rantau Eropah untuk CAAS dan LFV masing-masing.
Antara MOU lain termasuk:
– Memorandum Persefahaman antara Pentadbiran Pengangkutan Sweden dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA);
MOU itu bertujuan untuk menyediakan rangka kerja bagi pertukaran maklumat mengenai isu pengangkutan darat global. Ia merangkumi pertukaran kakitangan, perancangan projek bersama, serta kerjasama dengan rakan kongsi lain untuk mencari penyelesaian bagi pengangkutan mampan, keselamatan jalan raya, dan mobiliti bandar.
– Memorandum Persefahaman antara Kementerian Iklim dan Perusahaan Kerajaan Sweden dan Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) Singapura;
Kededua pihak telah menandatangani MOU untuk memperkukuh kerjasama tenaga, khususnya dalam teknologi Arus Terus Voltan Tinggi (HVDC), kabel dasar laut, dan kesalinghubungan tenaga serantau. Kerjasama ini di antaranya, akan menyumbang kepada usaha berterusan untuk merealisasikan Grid Kuasa ASEAN (APG), perdagangan elektronik antara negara.
– Memorandum Persefahaman antara Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura dan Kementerian Kesihatan dan Hal Ehwal Sosial Sweden mengenai Kerjasama Inovasi Penjagaan Kesihatan.
Di bawah MOU ini, Singapura dan Sweden akan memajukan kerjasama dua hala dalam inovasi penjagaan kesihatan melalui pertukaran maklumat, kerjasama penyelidikan, dan inisiatif pembangunan keupayaan. MOU ini ditandatangani Setiausaha Tetap MOH (Dasar dan Pembangunan), Cik Lai Wei Lin, dan Setiausaha Negara (Kementerian Penjagaan Kesihatan Sweden), Cik Miriam Söderström.
Penandatanganan MOU ini menegaskan hubungan kerja yang rapat antara Singapura dan Sweden, serta menandakan satu pencapaian penting dalam kerjasama dua hala dalam lima segmen ini.
Semasa lawatan beliau, Raja Carl XVI Gustaf menghadiri makan tengah hari dan perbincangan panel di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) bersama delegasi diraja Sweden, wakil kerajaan, pemimpin perniagaan, serta pihak pengurusan dan fakulti NTU.
NTU dan institusi Sweden telah menandatangani dua perjanjian untuk memperkukuh hubungan akademik dan penyelidikan.
NTU bakal bekerjasama dengan Universiti Lund dalam penyelidikan sains bahan, sains hayat, kelestarian dan kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, NTU dan firma tenaga Sweden, Anodox, memeterai kerjasama dalam pembangunan penyelesaian penyimpanan tenaga menggunakan teknologi penyejukan rendaman (immersion cooling technology).
Raja Carl XVI pulang ke tanah air pada 21 November.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg