S’pura tekad jadi peneraju AI jamin pertumbuhan, pekerjaan baik bagi rakyat
S’pura tekad jadi peneraju AI jamin pertumbuhan, pekerjaan baik bagi rakyat
Program Peneraju AI, Misi AI dan Kampong AI@One-North akan perkasa firma, wujud kepimpinan AI dalam sektor utama
Singapura perlu mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju kecerdasan buatan (AI) dan memperkasa ekonomi berasaskan AI bagi menjamin fasa pertumbuhan seterusnya dan pekerjaan baik dalam dunia yang sedang berubah dan penuh ketidaktentuan, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.
Dorongan AI itu merupakan antara lima teras strategik yang digariskan Encik Gan, juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, dalam strategi pertumbuhan Singapura semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) bagi Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) di Parlimen pada 2 Mac.
Empat teras lain termasuk memperkukuh kepimpinan dalam sektor pertumbuhan utama; mengekalkan ekosistem perusahaan dinamik dan bertenaga; membolehkan perniagaan secara proaktif mengharungi peralihan; dan memperkukuh hubungan dengan pasaran sejagat global; serta menyokong syarikat dalam usaha penyejagatan.
Teras strategik tersebut akan membina kekuatan ekonomi sedia ada, merebut peluang baru, memanfaatkan teknologi, serta memastikan Singapura kekal terbuka dan terhubung sambil menyokong rakyatnya mengharungi perubahan.
“Kuasa struktur utama sedang membentuk semula industri, perniagaan dan pekerjaan. AI dan automasi sedang mengubah cara nilai dicipta, dan cara pekerjaan disusun.
“Dorongan sejagat untuk mengurangkan pelepasan karbon juga sedang mengubah proses industri, mempengaruhi corak pelaburan, dan memberi kesan kepada daya saing relatif.
“Bersama dengan kekangan demografi kita yang saya sebutkan minggu lalu, usaha mengekalkan pertumbuhan dan mewujudkan pekerjaan baik akan menjadi lebih mencabar.
“Namun, walaupun dalam persekitaran lebih sukar ini, terdapat peluang baik buat Singapura sebagai hab yang dipercayai, berasaskan pengetahuan dan keterhubungan,” kata beliau.
Mengulas rancangan memperkukuh ekonomi yang diperkasa AI, Encik Gan berkata, program Peneraju AI baru akan dilancarkan pada 2026.
Ia bagi membolehkan pemerintah bekerjasama dengan sekumpulan syarikat berpangkalan di Singapura yang terpilih dengan komitmen menjadikan AI pemacu teras daya penghasilan, inovasi dan pertumbuhan pendapatan mereka.
Pemerintah akan bekerjasama dengan syarikat tersebut bagi mengubah perniagaan mereka dengan menerapkan penggunaan AI merentasi operasi teras, proses organisasi dan amalan tenaga kerja.
“Ini merangkumi latihan kepimpinan dan tenaga kerja, serta sokongan bagi membangun dan melaksanakan projek transformasi AI dengan kesan perniagaan yang jelas dan boleh diukur,” kata Encik Gan.
“Syarikat ini juga akan melabur dalam latihan semula dan peningkatan kemahiran kakitangan mereka, membolehkan pekerja mereka melakukan peranan kerja berdaya AI dengan nilai lebih tinggi,” tambah beliau.
Beliau memberi contoh DBS yang telah menerapkan AI dalam operasi bank mereka, daripada pendekatan pelanggan hingga ke pengurusan risiko dan kecekapan operasi.
Contohnya, melalui dorongan berasaskan AI yang diperibadikan, DBS membimbing pelanggan runcit untuk membuat keputusan pelaburan dan kewangan yang lebih baik.
Enterprise Singapore dan Industri Digital Singapura (DISG) akan merintis program itu dengan beberapa syarikat, dan butiran lanjut akan diumum kelak.
Sementara itu, Singapura akan memacu transformasi AI di peringkat sektor melalui Misi AI nasional bermula dengan sektor perkilangan lanjutan, ketersambungan, kewangan dan penjagaan kesihatan.
Memberi butiran lanjut, Encik Gan berkata pemerintah akan bekerjasama dengan industri bagi setiap misi untuk menetapkan pernyataan masalah khusus mengikut sektor dalam bidang di mana AI mampu memacu transformasi dan membawa perubahan besar.
Bagi setiap misi tersebut, mereka akan membina ekosistem ‘full-stack’ – termasuk set data, sumber pengkomputeran, ruang ujian (sandbox) kawal selia, dan penyedia huraian.
Ini akan menyingkatkan laluan daripada pembangunan kepada pelaksanaan, serta daripada ujian kepada skala besar, kata Encik Gan.
“Misi ini akan menjana permintaan bagi kemahiran baru, sekali gus mewujudkan kelompok kepakaran yang berpangkalan di Singapura,” kata beliau.
“Misi AI ini berfungsi sebagai lambang penyatuan untuk menarik bakat AI sejagat dan syarikat yang tertumpu kepada aplikasi dunia nyata, menggerakkan usaha seluruh negara merangkumi pemerintah dan industri, serta menumpukan pelaburan dan pemboleh daya bagi impak yang lebih besar,” tambah beliau.
Encik Gan turut mengumumkan penubuhan sebuah Taman AI dipanggil Kampong AI di LaunchPad @ One-North.
Dibangunkan syarikat JTC dan dijangka selesai dibina pada 2028, Kampong AI akan menjadi masyarakat syarikat pemula bersepadu pertama di Singapura yang menawarkan ruang kerja dan kediaman, dengan syarikat pemula, penyelidik dan rakan industri AI boleh berkumpul dan menguji idea mereka.
“Usaha ini – Peneraju AI, Misi AI dan Kampong AI – akan meletakkan Singapura sebagai tempat di mana huraian AI dibangunkan, terbukti dan diskalakan – memperkasakan firma di seluruh ekonomi, dan mewujudkan kepimpinan AI dalam sektor utama,” kata Encik Gan.

