Singapura dan Thailand memeterai perjanjian pada 7 November bagi memperkukuh kerjasama dalam perdagangan beras dan kepimpinan sektor kesihatan semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, ke Singapura.
Di bawah memorandum kerjasama (MOC) mengenai perdagangan beras, Thailand akan menyokong penjualan beras yang terjamin mengikut syarat dipersetujui bersama atas permintaan pemerintah Singapura, menurut Kementerian Kemampanan dan Sekitaran Singapura.
Perjanjian itu memperbaharui komitmen kedua-dua negara untuk memastikan perdagangan beras berlangsung secara terbuka, telus, dan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Ia juga bertujuan memperluas perdagangan dalam sektor ini dengan mengelak sebarang langkah sekatan yang tidak diperlukan, menurut kenyataan kementerian.
Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, dalam sidang media bersama Encik Anutin, berkata Singapura mengimport kebanyakan sumber makanannya, dan Thailand pula merupakan sebuah negara pengeksport hasil pertanian.
“Ini adalah perjanjian saling menguntungkan yang akan memastikan kestabilan bekalan beras bagi Singapura, sambil membuka peluang pasaran baru untuk pengeluar Thailand,” kata Encik Wong.
Ini merupakan perjanjian perdagangan beras kedua Singapura dengan rakan dagang, susulan MOC dengan Vietnam yang dimeterai pada 30 Oktober semasa Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di Korea Selatan.
Di bawah perjanjian itu, Vietnam akan menyokong “eksport tanpa halangan bagi jumlah (beras) yang dipersetujui bersama” ke Singapura.
Menurut satu kenyataan di laman web kerajaan Thailand, negara itu mengumumkan akan menjual sehingga 100,000 tan beras kepada Singapura pada harga pasaran antarabangsa semasa.
Perjanjian itu akan berkuat kuasa selama lima tahun selepas ia ditandatangani, dengan pilihan untuk diperbaharui bagi tempoh lima tahun berturut-turut, lapor The Business Times (BT).
Pada 2024, Singapura mengimport 112,744 tan beras daripada Thailand – sekitar satu perempat daripada jumlah keseluruhan import beras negara, menurut data daripada World Integrated Trade Solution (WITS).
Perjanjian tersebut ditandatangani pada 7 November oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, serta Menteri Perdagangan Thailand, Cik Suphajee Suthumpun.
Pertukaran perjanjian itu dilakukan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, dan Cik Suthumpun, di depan Encik Wong dan Encik Anutin.
Sementara itu, di bawah perjanjian kesihatan, kedua-dua negara berikrar memperkukuh kerjasama dalam program yang memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan kesihatan bagi penjagaan penduduk warga emas di Thailand.
Ini termasuk membangunkan keupayaan pemimpin kesihatan Thailand melalui perkongsian pengetahuan dan program latihan dalam bidang tadbir urus, strategi pelaksanaan dasar, mutu perkhidmatan dan klinikal, dan penyepaduan perkhidmatan, terutamanya dalam bidang geriatrik (rawatan kesihatan warga tua) dan perkhidmatan pemulihan.
Encik Wong berkata dalam sidang media bersama:
“Kedua-dua masyarakat kita semakin menua dengan pantas. Kita boleh belajar antara satu sama lain untuk membantu warga emas hidup dengan baik – dalam keadaan sihat, bermaruah dan terarah.”
Kerjasama ini akan dipimpin oleh Hospital Besar Changi (CGH), yang akan memanfaatkan kepakaran sedia adanya dalam perubatan geriatrik, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
Memorandum persefahaman (MOU) antara SingHealth dan Jabatan Perkhidmatan Perubatan di bawah Kementerian Kesihatan Awam Thailand ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan SingHealth, Encik Ng Wai Hoe, dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perubatan, Encik Nutthapong Wongwiwat, bagi pihak Thailand.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg