Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura, Thailand perkukuh hubungan pertahanan dua hala
S’pura, Thailand perkukuh hubungan pertahanan dua hala
S’pura, Thailand perkukuh hubungan pertahanan dua hala
Singapura dan Thailand mengesahkan semula hubungan yang kukuh dalam pelbagai aspek, apabila Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, di Bangunan Pentadbiran Kerjaan Thailand pada 27 April.
Encik Chan dan Encik Anutin turut bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan geopolitik terkini, selain membincangkan usaha memperkukuhkan kerjasama antara kededua negara.
Ini termasuk meneroka peluang kerjasama dalam bidang kepentingan bersama.
Menurut satu kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 27 April, Encik Chan dikatakan turut menyampaikan ucapan takziah atas pemergian “Queen Mother” Kerajaan Thailand, Mendiang Ratu Sirikit.
Encik Chan mengadakan lawatan ke Thailand dari 26 hingga 28 April, di mana beliau juga bertemu dengan Menteri Pertahanan Thailand, Leftenan Jeneral (LTG) Adul Boonthumjaroen, lalu memeriksa Kawalan Kehormatan di Kementerian Pertahanan Thailand.
Berkongsi tentang pertemuan bersama LTG Adul di Facebook pada 27 April, Encik Chan menulis:
“Pertemuan ini merupakan peluang baik untuk menjalin semula hubungan selepas kerjasama pada masa lalu dan bagi memperkukuh hubungan meluas antara Singapura dan Thailand - hubungan yang dibina atas kepercayaan mendalam dan hubungan kemasyarakatan yang utuh.”
Kededua menteri turut membincangkan cara memperhebatkan kerjasama pertahanan dalam aspek yang mempunyai kepentingan bersama, termasuk membina daya ketahanan rantaian bekalan dan pertahanan, tambah Encik Chan.
Dalam pada itu, mereka juga membincangkan perkembangan keselematan sejagat dan serantau, sambil menekankan kepentingan memperkukuhkan tahap keselamatan serantau melalui Mesyuarat Menteri Pertahanan Asean (ADMM) dan ADMM-Plus.
Encik Chan turut melahirkan rasa syukur terhadap sokongan Thailand kepada latihan tentera dua hala Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang utama, seperti Latihan Kocha Singa, Latihan Singsiam dan Latihan Cobra Gold.
“Sebagai sebahagian rangka lawatan saya, saya juga telah melawat Ibu Pejabat Angkatan Tentera Diraja Thailand (RTARF) di mana saya melihat usaha Thailand menubuhkan Markas Keupayaan Bersama RTARF,” ujarnya lagi.
Kedatangan Encik Chan disambut oleh Panglima RTARF, Jeneral (GEN) Ukris Boontanondha, di ibu pejabat RTARF, di mana beliau diberi taklimat mengenai Markas Keupayaan Bersama RTARF itu.
Encik Chan juga akan mengadakan kunjungan hormat atas Ahli Majlis Privi, Jeneral (GEN) Prayut Chan-o-cha, serta bertemu dengan Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara Thailand, Encik Chatchai Bangchuad.
