Topic followed successfully
Go to BHkuS’pura tidak berpihak kepada AS, negara Barat mengenai Selat Hormuz
S’pura tidak berpihak kepada AS, negara Barat mengenai Selat Hormuz
Shanmugam: Pendirian S’pura selaras dengan undang-undang antarabangsa serta kepentingan teras negara
S’pura tidak berpihak kepada AS, negara Barat mengenai Selat Hormuz
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, menekankan bahawa Singapura tidak berpihak pada Amerika Syarikat atau mana-mana negara Barat berkenaan isu Selat Hormuz.
Menegaskan semula kenyataan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan di Parlimen pada 7 April, Encik Shanmugam berkata pendirian Singapura selaras dengan undang-undang antarabangsa serta kepentingan teras negara dalam perkara ini.
Sewaktu berucap di Parlimen, Dr Balakrishnan menegaskan Singapura tidak akan terlibat dalam rundingan dengan Iran untuk melalui Selat Hormuz.
Ini kerana tindakan tersebut secara tidak langsung akan menghakis prinsip undang-undang Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos), di mana Singapura merupakan salah satu negara penandatangan.
Dr Balakrishnan turut merujuk kepada Artikel 44 Unclos yang dengan jelas menetapkan kewajipan ke atas negara-negara bersempadan dengan selat antarabangsa, dengan ketetapan “laluan transit tidak boleh dihalang” dan “tidak boleh digantung dalam apa jua keadaan.”
Sewaktu ucapannya semasa Majlis Kenaikan Pangkat Pasukan Home Team pada 13 April di Hotel Orchard, Encik Shanmugam, berkata:
“Kedudukan kita (Singapura) adalah di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut dan undang-undang antarabangsa adat, di mana terdapat hak laluan transit untuk melalui selat tersebut.
“Kita tidak boleh mengenakan bayaran tol atau membuat pilihan siapa yang mendapat akses ke perairan ini.
“Oleh itu, kita mesti berwaspada apabila pihak lain menganggap hak dan kebebasan pelayaran sebagai keistimewaan budi bicara yang boleh dirunding atau dibayar.”
Acara tersebut meraikan kenaikan pangkat bagi 289 anggota Pasukan Home Team kepada jawatan Leftenan Kolonel serta Superintenden dan ke atas.
Membuat perbandingan dengan Selat Melaka di mana titik paling sempitnya adalah kurang daripada dua batu nautika berbanding Selat Hormuz dengan titik paling sempit 21 batu nautika, Encik Shanmugam, menjelaskan:
“Bagaimanakah kita harus bertindak balas terhadap seseorang yang berkata kapal awam perlu membayar tol untuk melalui Selat Melaka?
“Dan jika tidak, mereka akan berdepan dengan peluru berpandu, periuk api atau serangan dron?
“Inilah sebabnya Dr Balakrishnan berkata di Parlimen kita tidak boleh berunding untuk laluan selamat kapal atau merundingkan kadar tol di Selat Hormuz.”
Dalam ucapannya itu, Encik Shanmugam, menyingkap semula reaksi beberapa pihak terhadap kenyataan Dr Balakrishnan di Parlimen.
Antaranya oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Cik Nurul Izzah Anwar, baru-baru ini, yang menyatakan pendirian Singapura merupakan pendirian strategik yang sempit, mengutamakan penjajaran berbanding tanggungjawab serantau dan undang-undang antarabangsa.
Susulan kenyataan tersebut, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan pendirian Singapura adalah urusan Singapura dan adalah penting bagi Singapura dan Malaysia untuk mengekalkan hubungan persahabatan mereka.
Dalam melahirkan penghargaan terhadap kenyataan Datuk Anwar, Encik Shanmugam, menegaskan:
“Ini bukanlah situasi di mana Singapura memihak kepada Amerika Syarikat atau negara-negara Barat.
“Kami telah menyatakan pendirian kami demi kepentingan strategik kami sendiri, yang selaras dengan undang-undang antarabangsa.”


