Singapura telah mengharungi dan mengatasi pelbagai krisis sebelum ini, namun ketidaktentuan sejagat yang berpunca daripada tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat kini dianggap luar biasa dan dijangka berpanjangan, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Beliau menegaskan persekitaran luar yang stabil dan menyokong tidak lagi boleh dianggap sesuatu yang terjamin.
“Ada yang kata ‘jangan cemas, jangan besar-besarkan isu, kita pernah tempuhi krisis yang lebih besar dan kita masih bertahan’,” kata Encik Lee, yang bercakap kepada wartawan menjelang sesi dialog bersama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) yang turut dihadiri Presiden NTUC, Cik K. Thanaletchimi; Setiausaha Agung, Encik Ng Chee Meng; dan pemimpin kesatuan lain.
“Kita harus hadapinya dengan tenang, tetapi pada masa yang sama perlu ambil peduli dan memahami apa yang sedang berlaku serta kesannya kepada kita,” kata Encik Lee.
“Saya harap rakyat Singapura faham keadaan ini, apakah yang dipertaruhkan dan apakah yang perlu kita lakukan bersama untuk menjamin masa depan kita,” tambahnya.
Beliau mengimbas bagaimana Singapura pernah mengharungi pelbagai krisis, dan meski negara berjaya menanganinya, kejayaan itu didorong oleh dua kelebihan utama: perpaduan rakyat semasa krisis dan sistem ekonomi sejagat yang menyokong perdagangan bebas serta peluang sama rata.
Encik Lee berkata: “Aliran pelaburan yang bebas menggalakkan syarikat berbilang negara (MNC) mencari peluang untuk menjalankan perniagaan.
“Kita cekap, kita berjaya. Apabila berlaku masalah, kita bangkit semula. Kita sambung berkembang, membangun dan mencapai kejayaan.”
Apabila sistem kewangan sejagat dan dasar Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) berfungsi dan dihormati, negara besar mahupun kecil dapat bersaing secara adil kerana peraturannya jelas dan pasaran perdagangan dibuka sama rata untuk semua, ujar Encik Lee.
Namun, Amerika kini dengan peraturan tarif barunya, ingin “memansuhkan sistem” itu dan menggantikannya dengan tarif timbal balas.
Pada 9 April, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengumumkan penangguhan tarif timbal balas selama 90 hari, kecuali terhadap China yang kini dikenakan cukai sehingga 145 peratus.
Sebagai tindak balik, China menaikkan tarif ke atas barangan Amerika kepada 125 peratus mulai 12 April.
Singapura pula masih tertakluk kepada cukai tetap 10 peratus ke atas barangan eksport, berkuat kuasa sejak 5 April, lapor The Straits Times (ST).
Encik Lee berkata melalui peraturan tarif baru itu, Amerika mengeksploitasi kuasa perundingannya sebagai negara yang menyumbang satu per empat Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) dunia, serta satu per tujuh daripada jumlah dagangan barangan sejagat.
Beliau turut menggariskan kesan besar yang bakal dihadapi Singapura dan dunia akibat tindakan itu.
“Negara kecil akan terjejas kerana kita tiada kuasa tawar-menawar, namun negara besar juga tidak akan meraih manfaat, kerana ia akan mengekang perdagangan, meningkatkan kos dan menjejas pertumbuhan,” jelas Encik Lee.
Beliau turut memberi amaran bahawa masalah itu akan berlarutan.
“Ia tidak akan hilang dalam masa terdekat kerana setelah tarif dikenakan dan pasaran (negara) sendiri dilindungi, amat sukar untuk menariknya (peraturan tarif itu) semula,” katanya.
Ketidaktentuan sejagat ini telah pun menjejas Singapura.
Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 14 April, menurunkan unjuran pertumbuhan Singapura bagi 2025 kepada antara sifar dengan 2 peratus, berbanding unjuran terdahulu iaitu antara 1 dengan 3 peratus.
Bagi menangani ketidaktentuan ekonomi, termasuk sebarang kesan terhadap pekerjaan, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 8 April, telah mengumumkan pembentukan satu pasukan petugas baru untuk mengadakan perbincangan dengan sektor privet serta merangka strategi.
Pasukan itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, dan dianggotai wakil NTUC, Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef).
Encik Lee berkata beliau tidak rasa kemelesetan ekonomi akan berlaku, namun tidak menolak kemungkinannya.
“Kita mesti sedar ‘cuaca buruk’ sedang menghampiri, namun dalam masa yang sama, kita boleh berasa sedikit lega kerana negara-negara lain turut berdepan cabaran serupa, dan Singapura lebih bersedia berbanding kebanyakan negara lain untuk menghadapi cabaran ini,” katanya.
“Lebih bersedia – kerana kita mempunyai rancangan, keazaman, pengalaman, sumber dan perpaduan.
“Kita bersedia untuk mengharunginya dan kita mampu melakukannya bersama-sama.”
Namun, untuk Singapura terus kukuh di pentas dunia, ia perlu teguh secara domestik terlebih dahulu – dan ini menuntut sebuah pemerintah yang berwibawa, berkesan dan kukuh, ujar Encik Lee.
Beliau turut menegaskan bahawa pilihan raya akan datang “amat penting” untuk “mempertahankan kedudukan negara di peringkat sejagat dan memimpin Singapura melalui waktu krisis dengan selamat”.
“
“Kita mesti sedar bahawa ‘cuaca buruk’ sedang menghampiri, namun dalam masa yang sama, kita boleh berasa sedikit lega kerana negara-negara lain turut berdepan cabaran serupa, dan Singapura lebih bersedia berbanding kebanyakan negara lain untuk menghadapi cabaran ini. Lebih bersedia – kerana kita mempunyai rancangan, keazaman, pengalaman, sumber dan perpaduan. Kita bersedia untuk mengharunginya dan kita mampu melakukannya bersama-sama.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg