Singapura tidak mungkin tersenarai dalam “senarai sasaran langsung tarif” dari Amerika Syarikat, namun negara ini masih boleh terkesan secara tidak langsung sekiranya berlaku sebarang “kemerosotan” pada integrasi ekonomi, rantaian bekalan global dan perdagangan dunia, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, di Parlimen pada 4 Februari.
“Saya menjangkakan kita tidak akan berada dalam senarai sasaran langsung tarif kerana... Amerika mempunyai lebihan dalam perdagangan dengan kita,” kata beliau semasa menjawab soalan daripada Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Neil Parekh.
Encik Parekh mengemukakan beberapa soalan mengenai hubungan Singapura-Amerika, termasuk kesan ke atas Singapura disebabkan tarif terbaru Amerika terhadap China, Mexico dan Canada, lapor The Business Times (BT).
Beliau menambah Singapura tetap boleh terkesan secara tidak langsung kerana ekonominya yang kecil dan terbuka, dengan perdagangan menyumbang tiga kali ganda lebih banyak daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).
“Saya perlu mempersiapkan rakyat Singapura untuk perjalanan penuh dengan ketidaktentuan dalam bulan atau tahun yang akan datang,” katanya.
Dr Balakrishnan memberitahu Parlimen, dunia kini berada pada “titik perubahan baru”, yang belum pernah dialami selama hampir satu abad.
Beliau menjelaskan susunan dunia liberal pasca-Perang Dunia Kedua didefinisikan oleh tiga dimensi: secara domestik, biasanya melalui demokrasi dan hak asasi manusia; secara ekonomi, melalui rantaian bekalan global dan integrasi ekonomi; dan secara antarabangsa, melalui pembangunan institusi antarabangsa, undang-undang, norma dan peraturan.
Beliau menambah sistem dunia seperti itu telah memberi manfaat kepada kemajuan Singapura dalam tempoh 60 tahun lalu.
Namun, ia semakin pudar kerana kehilangan sokongan politik domestik di banyak bahagian dunia.
Dr Balakrishnan menggambarkan hubungan antara Amerika dengan China – dianggap paling penting di dunia – sebagai hubungan yang mempunyai “kekurangan kepercayaan strategik yang kuat”, yang menyebabkan perpecahan pada ekonomi global.
Namun, ia bukan sahaja hanya antara Amerika dengan China, katanya.
Hubungan Amerika dengan sekutu dan jirannya juga sedang berkembang, dan cabaran terletak pada bagaimana Singapura serta Asia Tenggara bertindak balas terhadap perubahan itu.
“Kami percaya perlu ada penglibatan secara menyeluruh dengan semua kuasa besar yang sedang membangun.”
Menurutnya, ini bermaksud Singapura perlu terus melibatkan diri dengan Amerika, China, India, Kesatuan Eropah, Afrika dan Amerika Selatan.
Hal itu dapat dilihat dalam “diplomasi intensif dan penglibatan ekonomi” Singapura di peringkat global, termasuk pemeteraian Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) yang pelbagai.
Dengan persekitaran seperti itu dan saiz kecil Singapura, ia harus terus memainkan peranan yang “membina dan menyeluruh dengan cepat”, kata Dr Balakrishnan.
“Itu bermakna kita perlu konsisten, boleh dipercayai dan menjadi tuan rumah yang berintegriti kepada syarikat dari seluruh dunia, termasuk Amerika dan China,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg