Virus Nipah: Pekerja migran baru dari Bengal Barat diperiksa suhu setiap hari
Virus Nipah: Pekerja migran baru dari Bengal Barat diperiksa suhu setiap hari
Pekerja migran baru yang tiba di Singapura dari Bengal Barat, India, mesti menjalani pemeriksaan suhu harian sebagai langkah tambahan bagi mencegah penyebaran virus Nipah.
Mereka juga perlu mengisytiharkan sekiranya mengalami sakit kepala, salah satu simptom virus tersebut, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 3 Februari.
Langkah itu diambil selepas Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) pada 28 Januari mengumumkan tindakan di Singapura untuk membendung penyebaran virus, yang dikesan di Bengal Barat pada awal Januari.
MOM berkata sebagai langkah berjaga-jaga, pengawasan telah diperketatkan di pusat penerimaan pekerja migran baru, serta di asrama mereka.
Pekerja migran yang mempunyai sejarah perjalanan ke Bengal Barat perlu memeriksa suhu badan dan simptom mereka setiap hari selama 14 hari dari tarikh ketibaan di Singapura.
Mereka dinasihatkan mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami simptom, termasuk demam, sakit kepala, muntah, batuk, kesukaran bernafas, sawan dan kekeliruan.
Simptom biasanya muncul selepas tempoh inkubasi antara lima hingga 14 hari.
Mereka yang pernah ke Bengal Barat dan menunjukkan simptom virus akan diasingkan dan dinilai oleh karyawan perubatan bagi mendapatkan rawatan.
MOM berkata bilangan pekerja migran dari Bengal Barat yang tiba di Singapura setiap bulan adalah agak kecil.
Pada masa ini, semua pekerja migran baru yang tiba di pusat penerimaan MOM perlu membersihkan tangan dengan cecair pembasmi kuman atau sanitiser, memakai pelitup muka pembedahan dan menjalani pemeriksaan suhu semasa ketibaan, menurut kementerian itu.
Mereka juga perlu mengisi borang soal selidik kesihatan untuk memeriksa simptom seperti demam, batuk, ruam dan hidung berair.
Kini, sakit kepala turut ditambah sebagai salah satu simptom.
Jurucakap MOM berkata:
“MOM telah menasihati penyedia penjagaan kesihatan utama untuk meningkatkan kewaspadaan terhadap pekerja migran yang menunjukkan simptom mirip Nipah atau mempunyai sejarah perjalanan baru-baru ini ke Bengal Barat.
“Pekerja migran juga akan diingatkan untuk menjaga kebersihan diri, seperti mencuci tangan dan memakai pelitup muka ketika tidak sihat.”
Nasihat telah disebarkan kepada masyarakat pekerja migran dalam bahasa ibunda mereka melalui aplikasi FWMOMCare, serta kepada majikan, menurut MOM.
Pengendali asrama juga diberikan panduan tentang cara menangani kes yang disyaki, seperti melaporkan dengan segera dan mengasingkan sebelum membawa mereka ke kemudahan perubatan, tambah kementerian itu.
Sehingga kini, hanya dua kes disahkan dilaporkan di Bengal Barat.
“
“MOM telah menasihati penyedia penjagaan kesihatan utama untuk meningkatkan kewaspadaan terhadap pekerja migran yang menunjukkan simptom mirip Nipah atau mempunyai sejarah perjalanan baru-baru ini ke Bengal Barat.”
