Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura, Turkey tegas komitmen perkukuh hubungan erat, teroka peluang baru
S’pura, Turkey tegas komitmen perkukuh hubungan erat, teroka peluang baru
Usaha perkukuh kerjasama dalam bidang seperti perdagangan, pelaburan dan pengangkutan
S’pura, Turkey tegas komitmen perkukuh hubungan erat, teroka peluang baru
ISTANBUL: Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, dan Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, menegaskan semula hubungan erat yang telah lama terjalin antara Singapura dengan Turkey semasa pertemuan di Istanbul pada 19 Jun.
Dalam satu kiriman Facebook, Encik Wong berkata:
“Presiden Erdogan dan saya mengadakan perbincangan produktif mengenai cara memperkukuh lagi hubungan ini, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk perniagaan dan rakyat kami.
“Kami juga membincangkan landskap geopolitik yang sedang berubah pantas, sambil menegaskan semula komitmen bersama terhadap tatanan antarabangsa berasaskan peraturan.”
Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan menyatakan kedua-dua pemimpin membincangkan cara memperkukuh perkongsian strategik, serta Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Turkey-Singapura.
Langkah itu bertujuan memperkukuh kerjasama dalam bidang seperti perdagangan, pelaburan dan pengangkutan.
Mereka turut membincangkan usaha meningkatkan penglibatan dua hala, termasuk menerusi lebih banyak lawatan peringkat tinggi, selain menyambut baik hasrat Turkey untuk meningkatkan penglibatannya dengan Asean, tambah MFA.
Encik Wong berkata hubungan persahabatan dengan Turkey sebenarnya telah lama terjalin.
“Walaupun hubungan diplomatik kami dijalinkan secara rasmi pada 1969, lipatan sejarah menunjukkan hubungan kami telah mula wujud sejak 1865, iaitu apabila Empayar Uthmaniyyah mula menubuhkan Konsulat di Singapura,” jelasnya.
Encik Wong berada di Istanbul ketika dalam transit dari Kazan, Russia, di mana beliau menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Russia (ARCS).
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 16 Jun, ARCS tersebut menandakan dua pencapaian penting, iaitu ulang tahun ke-30 Perkongsian Dialog Asean-Russia dan ulang tahun ke-35 hubungan Asean-Russia.
Kali terakhir Encik Wong bertemu Encik Erdogan adalah di luar sidang kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Johannesburg, Afrika Selatan, pada November 2025.
