Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura ucap tahniah kepada Pakistan sempena 60 tahun hubungan diplomatik
Pemimpin Singapura mengucapkan tahniah kepada pemimpin Pakistan pada 24 Ogos sempena 60 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Dalam surat kepada Perdana Menteri Pakistan, Encik Muhammad Shehbaz Sharif, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata kedua-dua negara menikmati “hubungan mesra dan erat”, berasaskan saling menghormati dan memahami sepanjang enam dekad lalu.
Beliau berkata Pakistan antara negara pertama yang mengiktiraf Singapura selepas negara ini mencapai kemerdekaan pada 1965.
“Kita telah bekerjasama secara dua hala dan pelbagai hala. Kerjasama dalam kelancaran perdagangan, ekonomi digital, pertukaran antara rakyat dan pembangunan keupayaan boleh diperluaskan,” kata Encik Wong.
Encik Wong menambah bahawa beliau berharap dapat bekerjasama dengan rakan sejawatannya dan pemerintahnya untuk meneroka cara memperluaskan lagi perkongsian kedua-dua negara.
Secara berasingan, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dalam perutusan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan. Encik Ishaq Dar, berkata ulang tahun ke-60 itu mencerminkan persahabatan lama kedua-dua negara yang diperkukuh hubungan erat antara rakyat.
“Sepanjang beberapa dekad, kita telah mempertingkat kerjasama dalam pembangunan keupayaan dan pertukaran budaya.
“Masih ada ruang untuk mempererat hubungan demi manfaat bersama rakyat kita dalam mengharungi cabaran dunia yang terus berubah,” tambah Dr Balakrishnan.

