Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura ulangi sokongan penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin di PBB

Sep 23, 2025 | 3:09 PM
S’pura, penyelesaian, dua negara
Persidangan peringkat tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diadakan di Bandar New York bermula pada 22 September. - Foto AFP

Singapura mengulangi sokongan terhadap penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin, ketika Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang, menghadiri satu persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada 22 September.

Persidangan Peringkat Tinggi bagi Penyelesaian Aman Persoalan Palestin dan Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara dipengerusikan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi.

Ia menekankan sokongan masyarakat antarabangsa terhadap penyelesaian dua negara “bagi membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat Israel dan Palestin,” kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura dalam satu kenyataan.

Singapura turut menyokong dokumen hasil persidangan “Deklarasi New York mengenai Penyelesaian Aman Persoalan Palestin dan Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara”.

“Kehadiran Cik Gan mencerminkan keyakinan tetap dan konsisten Singapura bahawa penyelesaian dua negara melalui rundingan, selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan, merupakan satu-satunya jalan berdaya maju bagi membolehkan rakyat Israel dan Palestin hidup berdampingan dalam suasana aman, selamat dan bermaruah,” kata MFA.

Penegasan tersebut dibuat selepas Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, menekankan di Parlimen pada 22 September, bahawa Singapura sentiasa menyokong penyelesaian dua negara melalui rundingan bagi konflik Israel-Palestin.

“Kami akan mengiktiraf Negara Palestin apabila ia mempunyai pemerintah yang berkesan, menerima hak Israel untuk wujud, dan secara tegas menolak keganasan,” kata Dr Balakrishnan dalam kenyataan menterinya.

Beliau menambah sokongan Singapura terhadap penyelesaian dua negara bermaksud negara ini “akan menentang sebarang langkah oleh Israel untuk menafikan atau melemahkan penyelesaian tersebut”.

“Singapura tidak boleh mengiktiraf sebarang tindakan pemilikan paksa atau pengilhakan satu pihak terhadap wilayah yang diduduki kerana ini akan menjadi pelanggaran nyata undang-undang antarabangsa.”

Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, pada 22 September mengumumkan negaranya akan mengiktiraf kenegaraan Palestin dalam satu mesyuarat yang dipengerusikannya bersama Arab Saudi.

Sehari sebelumnya, Britain, Canada, Australia dan Portugal mengiktiraf Negara Palestin, dalam langkah yang didorong kekecewaan terhadap perang Israel di Gaza serta bertujuan menggalak penyelesaian dua negara.

Keputusan empat negara itu menempatkan mereka sebaris dengan lebih 140 negara lain yang turut menyokong aspirasi rakyat Palestin bagi membentuk sebuah negara merdeka.

Dr Balakrishnan dan Cik Gan akan menghadiri Sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB (UNGA), yang berlangsung dari 22 hingga 27 September. 

Dr Balakrishnan juga akan menyampaikan kenyataan Singapura pada Perbahasan Umum UNGA di New York pada 27 September.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg