Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura utamakan pengeluaran makanan tempatan boleh dipertingkat dalam negara

Pemerintah akan terus cari jalan sokong ladang baru serta sedia ada meski hadapi cabaran kos
Jan 13, 2026 | 7:48 PM
makanan, singapura, zaqy mohamad, dipertingkat
Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad berkata sasaran Singapura yang disemak semula untuk pengeluaran makanan tempatan mencapai keseimbangan antara cita-cita dan realisme. - Foto MDDI

Sasaran Singapura yang disemak semula untuk pengeluaran makanan tempatan mengimbangi harapan dan realiti, kata Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad.

Berucap di Parlimen pada 13 Januari, Encik Zaqy menjelaskan Singapura menilai kemampuan pengeluaran dan peningkatan skala dalam negara, serta cabaran yang membayangi sektor baru seperti protein alternatif.

Beliau menambah, matlamat pengeluaran makanan yang diubah suai ini memberi tumpuan kepada jenis makanan yang “mampu dihasilkan secara berskala dengan cekap”.

Merujuk kepada kos pengeluaran yang lebih tinggi dan kekangan permintaan sebagai halangan utama, Encik Zaqy berkata pemerintah akan “terus mencari jalan” untuk menyokong ladang baru dan sedia ada.

Sokongan ini merangkumi usaha menurunkan kos pengeluaran, membina keupayaan, memastikan akses yang boleh dipercayai kepada bekalan pengeluaran utama yang mantap dan merangsang permintaan terhadap hasil mereka.

Butiran lanjut tentang skim sokongan, katanya, akan diumumkan semasa Jawatankuasa Perbekalan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) yang akan datang.

Encik Zaqy berkata demikian semasa menjawab soalan daripada Anggota Parlimen (AP) yang bertanya bagaimana sasaran serat (fiber) dan protein yang disemak semula dibandingkan dengan matlamat ‘30 jelang 30’ sebelumnya.

Mereka turut bertanya bagaimana ia disesuaikan dengan pendekatan Singapura yang lebih luas terhadap keselamatan makanan.

Pada November, Singapura menggantikan sasaran asalnya untuk menghasilkan 30 peratus daripada keperluan pemakanannya, termasuk ikan, telur dan sayur-sayuran, menjelang 2030.

Di bawah rangka kerja baru ini, Singapura menyasarkan untuk menghasilkan 20 peratus daripada penggunaan seratnya menjelang 2035 dan 30 peratus daripada penggunaan telur dan makanan lautnya menjelang tahun yang sama.

Encik Zaqy berkata sasaran yang disemak semula mengambil kira peranan ladang tempatan sebagai sumber makanan segar yang regeneratif dan terjamin, serta kekuatan ekosistem pertanian Singapura dan potensinya untuk pertumbuhan.

Protein seperti daging bukan sebahagian daripada sasaran yang disemak semula disebabkan oleh faktor-faktor seperti kecekapan sumber, intensiti tanah dan keadaan iklim, manakala protein alternatif dikecualikan kerana “kemunculan sektor tersebut”, katanya.

Makanan yang tidak dirancang untuk dihasilkan di dalam negara, termasuk beras dan ayam, sebaliknya akan dijamin melalui kepelbagaian import dan penyimpanan stok di bawah rangka kerja Singapore Food Story 2.

“Sasaran yang disemak semula mengimbangi cita-cita dengan pragmatisme, selaras dengan apa yang mampu kita hasilkan dan skala di dalam negara, serta mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh sektor baru kita,” kata Encik Zaqy.

Namun beliau menegaskan keselamatan makanan adalah “tanggungjawab bersama yang memerlukan usaha kolektif negara”.

Beliau turut menambah, sokongan padu daripada pengguna dan perniagaan tempatan diperlukan untuk ladang mencapai skala dan daya maju komersial.

AP Parti Pekerja (WP) Encik Kenneth Tiong (GRC Aljunied) bertanya sama ada pemerintah akan mempertimbangkan kuota sumber tempatan sebanyak satu peratus yang “sederhana” untuk peruncit utama dan pengendali makanan.

Menjawab soalan tersebut, Encik Zaqy berkata bahawa Singapura “berpegang teguh kepada prinsip pasaran bebas”.

Beliau menambah tidak wajar pengguna atau pemerintah untuk membiayai atau memberi subsidi kepada produk makanan – sama seperti ia tidak berbuat demikian untuk tenaga atau petrol.

Walau bagaimanapun, beliau menambah pemerintah membantu dalam menghubungkan petani dengan peruncit, pengusaha hotel dan penyedia makanan di restoran melalui organisasi seperti Persekutuan Perusahaan Agro-Makanan Singapura.

“Kami berharap (dengan) membantu perniagaan kita membina keupayaan baru, meningkatkan hasil, mengurangkan kos pengeluaran mereka... (ia) membantu mereka menjadi lebih berdaya saing di pasaran.

“Dan saya berharap pengguna kita (akan) dapat melihat kelebihan menyokong (produk) tempatan dan membeli (produk) tempatan,” katanya.

“Sasaran yang disemak semula mengimbangi cita-cita dengan pragmatisme, selaras dengan apa yang mampu kita hasilkan dan skala di dalam negara, serta mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh sektor baru kita.”
Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg