Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Stok makanan S’pura jadi penampan ancaman, bukan pengaruh harga makanan

Zaqy: Kepelbagaian sumber import tempatan penting dalam pastikan ketahanan makanan sebelum stok simpanan diguna
Nov 6, 2025 | 7:27 PM
Zaqy, simpanan, makanan
Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad (depan, dua dari kiri) melawat kemudahan menyimpan stok makanan Singapura, yang diuruskan oleh syarikat rantaian bekalan dan logistik YCH Group, pada Oktober. - Foto fail

Stok makanan Singapura tidak bertujuan dijadikan sebagai mekanisme bagi mempengaruhi harga makanan, kata Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad.

Sebaliknya, stok simpanan itu bertujuan menjadi penampan pada masa gangguan bekalan makanan, katanya sebagai respons kepada Cik Hany Soh (GRC Marsiling-Yew Tee).

Cik Soh mengemukakan soalan di sidang Parlimen pada 6 November mengenai penggunaan stok makanan untuk mengatasi peningkatan dalam harga bekalan makanan.

Menurutnya, terdapat maklum balas daripada peniaga dan penjaja yang cuba mengurangkan kos operasi. Apabila terdapat lonjakan mendadak dalam kos barangan tertentu, seperti ayam, mereka mungkin memindahkannya kepada pengguna.

“Kita harus membezakan antara simpanan stok dengan mekanisme harga untuk makanan dan bekalan lain, kerana kita tidak sepatutnya ganggu stok simpanan kita untuk cuba mempengaruhi harga makanan di seluruh Singapura,” jelas Encik Zaqy.

Empat Anggota Parlimen (AP) mempersoalkan bagaimana stok makanan Singapura diuruskan – bagaimana ia dibekalkan, digunakan, diisi semula dan jika terdapat sebarang pembaziran.

Cik Poh Li San (GRC Sembawang), pula mengutarakan soalan tentang pertimbangan yang diambil untuk memilih atau mewajibkan pembekal makanan agar mengetepikan makanan untuk disimpan, bagaimana mereka diberi pampasan, serta cara memastikan kesegaran simpanan makanan.

Encik Zaqy merujuk kepada inisiatif Singapore Food Story, di mana aspek simpanan stok makanan merupakan salah satu daripada empat tonggaknya.

“Dalam hal ini, kami sering berusaha mempelbagaikan sumber import tempatan dan bergantung kepada import tersebut. Kepelbagaian ini penting dalam memastikan ketahanan makanan sebelum kita menggunakan stok simpanan,” jelasnya.

Di samping itu, terdapat juga tonggak usaha menanam secara tempatan dan perkongsian sejagat, satu usaha bekerjasama dengan negara-negara lain bagi menjamin ketahanan makanan.

Encik Zaqy juga berkongsi beliau tidak dapat mendedahkan terlalu banyak maklumat atas “kebimbangan keselamatan negara”.

Selain itu, beliau berkata Singapura tidak menyimpan stok protein alternatif, sebagai jawapan kepada Encik Ng Shi Xuan (GRC Sembawang) yang bertanya jika protein sedemikian disimpan sebagai tambahan kepada protein tradisional.

Encik Zaqy berkata: “Stok simpanan nasional kami terdiri daripada pelbagai barangan, termasuk beras, protein beku dan sayur-sayuran dalam tin.”

Beliau menambah pemerintah bekerjasama rapat dengan sektor swasta dalam memastikan stok makanan selamat untuk dimakan di samping mengurangkan seberapa boleh pembaziran makanan.

Salah satu kemudahan menyimpan stok makanan Singapura diuruskan syarikat rantaian bekalan dan logistik, YCH Group.

Ia seluas 13,500 meter persegi, berukuran sekitar 90 meter panjang dan 10 meter tinggi, dengan suhu ditetapkan serendah -23 darjah Celsius, dan mampu menampung sehingga 20,500 palet.

Dalam satu laporan pada Oktober, dikatakan selain ayam beku, tapak simpanan seperti itu turut menyimpan produk makanan lain termasuk makanan dalam tin serta beras, meskipun buat masa ini, undang-undang hanya mewajibkan penyimpanan stok beras.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg