Singapura dan Vietnam mahu meningkatkan hubungan mereka ke tahap lebih tinggi menerusi Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, Encik To Lam, bersetuju bahawa Perkongsian Strategik dan Perkongsian Ekonomi Digital-Hijau, yang ditubuhkan masing-masing pada 2013 dan 2023, telah menguatkan hubungan dua hala mereka.
“CSP menetapkan bagaimana kita akan bekerjasama dalam bidang strategik seperti pertahanan dan keselamatan, perangi jenayah rentas negara, serta bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana.
“Ia juga mencerminkan komitmen bersama memperdalam kerjasama dalam bidang baru muncul termasuk tenaga boleh diperbaharui, kredit karbon, kesalinghubungan kabel dasar laut, dan ekonomi digital,” kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, semasa majlis makan tengah hari rasmi untuk Encik Lam di Hotel Conrad Centennial Singapore, pada 12 Mac.
Dalam satu kenyataan pada 12 Mac, Kementerian Ehwal Luar (MFA) menyatakan kededua pihak berikrar memperkukuh kerjasama yang saling menguntungkan dan kepercayaan politik, serta meningkatkan penyelarasan dalam menangani cabaran kontemporari berdasarkan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa.
Kededua pihak turut berikrar untuk menghormati kemerdekaan, kedaulatan, integriti wilayah, dan sistem politik masing-masing.
Mereka berikrar tidak campur tangan dalam ehwal dalaman bagi membawa manfaat praktikal bagi kededua rakyat, serta meningkatkan perpaduan, ketahanan, keutamaan, dan keterangkuman Asean, sambil berusaha untuk keamanan, kestabilan, dan pembangunan di rantau ini dan di dunia.
Menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MOU), Encik Wong dan Encik Lam mengalu-alukan kemajuan dalam pelbagai inisiatif semasa mesyuarat bersama mereka.
Antaranya, dalam transformasi digital, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dan Kementerian Keselamatan Awam Vietnam telah menandatangani MOU untuk memudahkan perkongsian pengalaman mengenai dasar data pemerintah, mempromosikan aliran data rentas sempadan, dan menggalakkan penyertaan dalam acara pemerintah digital antara satu sama lain.
Dalam memerangi jenayah rentas sempadan, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Keselamatan Awam Vietnam telah pertingkatkan perjanjian untuk menangani ancaman baru dan sedang muncul termasuk penyeludupan dadah, jenayah siber dan penipuan dalam talian.
Mereka juga menyambut baik kelulusan laporan bersama mengenai kerjasama perdagangan tenaga angin luar pesisir antara kededua negara.
“Ini menunjukkan komitmen bersama pemerintah untuk memudahkan kelulusan peraturan bagi perdagangan tenaga angin luar pesisir dua hala dan akan memberikan momentum kepada projek antara Sembcorp dan PetroVietnam mengenai tenaga angin rendah karbon, membantu kami mencapai masa depan yang lebih mampan,” ujar Encik Wong semasa sidang media bersama.
Beliau melahirkan rasa gembira dalam menyambut baik kelulusan prinsip untuk dua lagi Taman Perindustrian Vietnam-Singapura (VSIP), kepada 20 VSIP di seluruh 14 wilayah di Vietnam secara keseluruhan.
A*Star juga akan menyokong pembangunan VSIP generasi akan datang yang pintar dan mampan, untuk menyokong ekosistem perkilangan maju Vietnam.
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Bank Negara Vietnam telah menaik taraf MOU untuk mempromosikan penyambungan pembayaran antara kededua negara dan menyokong operasi FinTech di kededua pasaran.
“Inisiatif pelbagai ini menunjukkan potensi yang dapat dicapai oleh kededua negara kita bersama.
“Dalam persekitaran global yang tidak menentu seperti yang kita saksikan hari ini, adalah lebih penting bagi negara-negara yang sehaluan seperti Singapura dan Vietnam untuk bekerjasama rapat, bukan sahaja secara dua hala tetapi juga untuk mengukuhkan Asean,” tambah Encik Wong.
Encik Lam sedang dalam lawatan rasmi ke Singapura 11-13 Mac.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg