Vietnam menjadi negara Asia Tenggara kedua selepas Thailand yang memeterai perjanjian perdagangan karbon dengan Singapura, sekali gus meluaskan pasaran republik ini bagi kredit karbon yang dijana di rantau ini.
Perjanjian dua hala ini menjadikan Vietnam negara kesembilan yang membolehkan pemerintah Singapura atau syarikat di negara ini yang tertakluk kepada cukai karbon, membeli kredit karbon untuk mengimbangi sebahagian pelepasan yang menyebabkan pemanasan sejagat.
Perjanjian itu, yang dikenali sebagai perjanjian pelaksanaan, ditandatangani secara maya pada 16 September oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran, merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu, dan Pemangku Menteri Pertanian dan Alam Sekitar Vietnam, Encik Tran Duc Thang.
Lapan lagi negara yang telah memeterai perjanjian tersebut dengan Singapura ialah Papua New Guinea, Ghana, Bhutan, Chile, Peru, Rwanda, Paraguay dan Thailand.
Perjanjian pelaksanaan ialah dokumen sah secara undang-undang bagi mengawal selia proses pemindahan kredit karbon antarabangsa antara dua negara.
Di bawah Perjanjian Paris – iaitu perjanjian antarabangsa yang diterima 195 pihak untuk mengehadkan pemanasan global – sesebuah negara boleh membeli kredit karbon yang dijana di negara lain untuk memenuhi sasaran iklim negara mereka, dalam usaha untuk mengurangi pelepasan.
Pasaran karbon memberi manfaat kepada pembeli kredit karbon, kerana membeli kredit dari luar negara kadangkala lebih murah berbanding mengurangkan pelepasan di dalam negara sendiri.
Negara tuan rumah projek juga mendapat manfaat kerana pendapatan daripada kredit karbon boleh digunakan bagi membiayai projek mesra iklim, lapor The Straits Times (ST).
MTI, dalam kenyataannya, berkata Singapura komited menyalurkan dana bersamaan 5 peratus daripada nilai urus niaga kredit karbon kepada langkah-langkah yang dapat membantu Vietnam menyesuaikan negara dengan perubahan iklim.
Sumbangan seperti ini tidak diwajibkan bagi perjanjian dua hala kredit karbon di bawah Perjanjian Paris, sebaliknya dilakukan secara sukarela oleh Singapura.
Kata Cik Fu: “Usaha menandatangani perjanjian pelaksanaan ini menandakan bidang kerjasama baru penting antara kedua-dua negara dan membuka peluang baru dalam peralihan kita ke arah ekonomi rendah karbon.
“Saya yakin perjanjian ini akan memacu pembangunan aktiviti menangani perubahan iklim yang dapat mengurangkan pelepasan, menggalak kerjasama serantau dalam berdepan dengan cabaran mendesak akibat perubahan iklim, serta membuka lebih banyak peluang ke arah pembangunan mampan.”
Encik Thang pula berkata perjanjian itu akan mewujudkan satu rangka kerja yang menjadi titik perubahan dengan membuka peluang baru dalam pembiayaan iklim, termasuk dalam bidang tenaga bersih dan pertanian pintar yang mampan.
“Kami juga berharap syarikat-syarikat Singapura akan giat bekerjasama dan melabur dalam projek di Vietnam untuk menjana kredit karbon bermutu tinggi yang menepati piawaian antarabangsa,” jelas Encik Thang.
Perjanjian pelaksanaan dimeterai antara negara bertujuan mengelakkan pengiraan berganda, iaitu keadaan di mana kedua-dua negara pembeli dan tuan rumah mengira pengurangan atau penyingkiran pelepasan yang sama sebagai sebahagian daripada sasaran masing-masing.
Negara tuan rumah mesti bersetuju membuat pelarasan bersesuaian untuk menambah kembali pelepasan yang telah dijual ke dalam inventori negara.
Satu kredit karbon bersamaan dengan satu tan karbon dioksida yang berjaya dikurangkan atau diserap daripada udara.
Kredit yang digunakan untuk mengimbangi pelepasan Singapura hanya boleh dibeli daripada projek di negara yang mempunyai perjanjian pelaksanaan dengan negara ini.
Singapura menganggarkan akan menggunakan kredit karbon bermutu tinggi untuk mengimbangi kira-kira 2.5 juta tan pelepasan setahun, dari 2021 hingga 2030.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg