Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Stadium Clementi, tapak Pusat Rekreasi West Coast akan dibangun semula

Jul 6, 2024 | 4:26 PM
Dijangka siap menjelang 2030, stadium baru Clementi itu juga akan menampilkan kemudahan sukan termasuk sebuah balapan berlari.
Dijangka siap menjelang 2030, stadium baru Clementi itu juga akan menampilkan kemudahan sukan termasuk sebuah balapan berlari. - Foto ST

Selepas lebih 40 tahun digunakan, Stadium Clementi akan dibangunkan semula bersama-sama tapak kosong bekas Pusat Rekreasi West Coast, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.

Ditetapkan untuk siap menjelang 2030, stadium baru itu akan menampilkan padang sofbol dan besbol serta kemudahan sukan lain, termasuk balapan berlari dan kegiatan untuk orang ramai mempelajari sesuatu sukan, kata Encik Lee pada 6 Julai, lapor The Straits Times.

Stadium dan tapak bekas pusat rekreasi itu, yang kini menjadi padang kosong selepas pusat itu dirobohkan pada 2020, terletak bersebelahan antara satu sama lain di tapak antara West Coast Road dengan Ekspreswe Ayer Rajah (AYE).

Dua lagi stadium lama yang serupa – Stadium Yio Chu Kang dan Bedok – juga sedang dikaji bagi pembangunan semula.

Encik Lee, yang merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC West Coast di mana terletaknya stadium itu juga mengumumkan bahawa pihak berkuasa sedang meneroka pembinaan pembangunan bercampur yang disepadukan dengan stesen MRT West Coast yang akan datang.

Stesen baru itu, yang dijadualkan dibuka menjelang 2032 di tapak bekas Sekolah Menengah Tanglin, akan berada di bawah tanah sepenuhnya, bersama-sama dengan laluan lain yang menghubungkan Jurong ke Changi, melalui Kawasan Tadahan Air Central.

Encik Lee berkata pembangunan baru itu, jika dibina, akan memberi penduduk akses mudah untuk membeli-belah, kemudahan dan perkhidmatan lain.

Beliau berkata demikian pada acara pertama Pesta Seni PAS tahun ini, siri tahunan acara komuniti anjuran Persatuan Rakyat (PA) yang akan berlangsung dari Julai hingga September.

Acara yang diadakan di Balai Rakyat West Coast itu memaparkan kegiatan seni termasuk melukis dan menganyam, serta persembahan gitar oleh lebih 100 penduduk.

Encik Lee menambah bahawa Stadium Clementi telah menjadi mercu tanda utama di West Coast selama bertahun lamanya sejak dibuka pada 1983, tetapi masanya telah tiba untuk menyuntik kesegaran pada infrastruktur dan kemudahannya.

Stadium yang dibangunkan semula itu akan menyokong latihan untuk pasukan kebangsaan bola lisut dan besbol Singapura, katanya.

Encik Lee juga mengundang orang ramai memberikan saranan tentang jenis gelanggang sukan yang mereka mahu – bola keranjang atau tenis – dan sukan apa yang mereka ingin pelajari di sana.

Beliau menambah bahawa Pusat Sukan dan Rekreasi Clementi, yang terletak di seberang AYE dari Stadium Clementi, akan kekal dibuka sementara stadium itu sedang dibangunkan semula.

Majlis Sukan Singapura (SportSG) sedang mengusahakan pelan dan garis masa yang terperinci, dan akan memberikan butiran lanjut apabila sudah sedia.

Stadium itu, pernah menjadi padang tuan rumah beberapa kelab bola sepak tempatan termasuk Clementi Khalsa dan Tanjong Pagar United.

Encik Lee juga bercakap tentang perkembangan berterusan dalam kawasan undi itu, seperti usaha untuk mempertingkatkan taman di kawasan seperti Taman West Coast, HortPark dan Kawasan Alam Semula Jadi Simpanan Labrador.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg