Stamford Catering Services didenda $8,000 pada 20 Mei atas kecuaian keselamatan makanan selepas lebih 180 orang jatuh sakit, dengan gejala gastroenteritis atau radang perut dan usus, dalam dua kejadian berasingan.

Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Oktober 2024 telah menerima laporan mengenai jangkitan gastroenteritis yang menjejas 160 orang yang telah makan makanan yang dibekalkan syarikat itu, kata SFA dalam satu kenyataan.

Pemeriksaan bersama ke atas premis Stamford Catering di 24A Senoko South Road telah dijalankan oleh pegawai MOH dan SFA, di mana beberapa kecuaian keselamatan makanan dikenal pasti.

Antara kesilapan yang ditemui termasuk air bertakung dalam premis tersebut, siling bilik penyejuk yang kotor, serta soket elektrik tanpa penutup yang mempunyai kesan makanan dan berpotensi menjadi sarang haiwan perosak.

Laporan berita awal menyatakan 51 orang jatuh sakit dan syarikat katering itu sedang disiasat bagi tiga kejadian gastroenteritis.

Tiada seorang pun daripada mereka yang terjejas itu dimasukkan ke hospital, dan mereka sama ada mendapatkan rawatan pesakit luar atau mengambil ubat sendiri.

Gejala gastroenteritis termasuk cirit-birit dan muntah.

SFA berkata ia telah menggantung operasi perniagaan makanan Stamford Catering antara 14 Oktober dengan 29 Oktober 2024. Penggantungan itu ditarik balik pada 30 Oktober 2024 apabila syarikat itu melaksanakan langkah yang ditetapkan SFA.

Pada Februari 2025, SFA menerima dua lagi laporan mengenai apa yang dipercayai kejadian gastroenteritis yang melibatkan 22 orang yang memakan makanan yang dibekalkan oleh syarikat tersebut.

Kecuaian keselamatan makanan ditemui semasa SFA memeriksa premisnya.

Ini termasuk pemanas makanan, mesin minuman dan pembuat ais yang kotor, siling dapur yang tidak bersih, serta kesan kotoran berwarna perang yang menitis dari penutup ekzos. 

SFA mengarahkan syarikat itu supaya membaiki kecuaian tersebut dan mengambil langkah yang perlu bagi meningkatkan kebersihan premisnya. 

Menurut laman webnya, Stamford Catering pernah menyediakan khidmat katering untuk majlis perkahwinan, acara korporat dan acara sukan seperti Sukan SEA ke-28 pada 2015.

Pada 2019, gred kebersihan makanan Stamford Catering diturunkan daripada “A” kepada “C” selepas 52 orang mengalami keracunan makanan.

Syarikat itu kini mempunyai penilaian 4.5 daripada lima di Google, dengan lebih 1,500 ulasan.

Dalam kenyataannya, agensi itu berkata keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama kerana makanan boleh tercemar di mana-mana sahaja sepanjang rantaian bekalan makanan.