Sebuah agensi pelancongan di Singapura telah dibatalkan lesen perniagaannya pada 3 September kerana kegagalannya yang berterusan untuk menyerahkan Penyata Akaun Beraudit (AA) dan Pulangan Profil Perniagaan Tahunan (ABPR).
Dalam satu kenyataan pada 4 September, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) menyatakan bahawa Zayn Travels tidak lagi dibenarkan menjalankan sebarang kegiatan agensi pelancongan.
Agensi tersebut dikehendaki memulangkan wang kepada semua pelanggan sedia ada, atau memindahkan tanggungjawab sedia ada mereka terhadap pelanggan kepada agensi pelancongan berlesen lain bagi memastikan tanggungjawab tersebut dipenuhi.
Semakan pada akaun media sosial agensi tersebut mendapati ia menawarkan pakej umrah ke Makkah, Arab Saudi dan pakej pelancongan ke destinasi lain seperti Indonesia, Vietnam dan India.
Pada Jun, Zayn Travels disenaraikan oleh STB sebagai antara agensi yang lesennya dibatalkan.
Namun, STB kemudian tidak mendedahkan nama agensi tersebut selepas syarikat itu mengemukakan rayuan, lapor The Straits Times (ST).
Di bawah Peraturan Agensi Pelancongan 2017, pemegang lesen agensi pelancongan diwajibkan menyerahkan dokumen AA dan ABPR syarikat dalam tempoh enam bulan selepas tahun kewangannya berakhir.
“STB memandang serius terhadap agensi pelancongan yang melanggar peraturan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya demi melindungi reputasi industri pelancongan Singapura,” kata STB.
Dalam laporan pada Disember 2024, sebanyak lapan agensi pelancongan – termasuk beberapa agensi Melayu/Islam – digantung daripada menjalankan kegiatan agensi pelancongan oleh STB, mengikut Akta Agensi Pelancongan 1975.
Penggantungan tersebut melibatkan tujuh syarikat, termasuk Zayn Travels, yang gagal menyerahkan AA dan/atau ABPR.
Satu lagi syarikat juga digantung kerana gagal mengekalkan keperluan kewangan minimum dan gagal membayar penalti kewangan tertunggak.
Untuk senarai terkini agensi pelancongan berlesen di Singapura, lungsuri laman web STB.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg