Lesen agensi pelancongan dan umrah, Al Faheem Tours & Travels, telah digantung oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB), berkuat kuasa 28 Mei.
Syarikat tersebut masih perlu memenuhi kewajipan sedia ada kepada pelanggannya, tetapi tidak dibenarkan menerima tempahan pelancongan baru.
Dalam satu makluman pada 29 Mei, STB menyatakan bahawa penggantungan tersebut disebabkan kegagalan syarikat itu untuk menyerahkan penyata akaunnya yang sudah diaudit dalam masa enam bulan selepas tahun kewangannya berakhir.
Menurut STB, Al Faheem Tours & Travels juga gagal membayar penalti kewangan sebagai ganti untuk penggantungan atau pembatalan lesen perniagaan yang dikenakan terhadapnya kerana kesalahan tersebut.
STB menambah bahawa penggantungan itu berkuat kuasa sehingga syarikat tersebut membayar penalti kewangan, atau sehingga enam bulan, yang mana lebih awal.
Menurut halaman Facebook Al Faheem Tours & Travels, syarikat itu adalah penyedia pakej umrah yang menawarkan “perkhidmatan amat baik dan sokongan pelanggan yang memuaskan”.
Bagaimanapun, laman webnya kini tidak dapat diakses.
Semakan rekod perniagaan pada 29 Mei menunjukkan Al Faheem Tours & Travels masih menjalankan perniagaan.
Didaftar pada November 2012, syarikat tersebut sebelum ini dikenali sebagai, Via Exim (S) Cargo and Univercell (S) Trading.
STB menyatakan ia memandang serius terhadap ejen pelancongan yang melanggar peraturan dan tidak teragak-agak mengambil tindakan yang perlu untuk melindungi reputasi industri pelancongan Singapura.
Orang ramai boleh merujuk kepada senarai terkini agensi pelancongan berlesen di Singapura di laman web, https://trust.stb.gov.sg.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg