Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada 16 September melancarkan tender berasaskan konsep dan harga bagi pembangunan semula 37 Emerald Hill, yang akan dibuka sehingga 16 Mac 2027.

Pembida tempatan dan antarabangsa diberi tempoh enam bulan untuk mengemukakan cadangan bagi “meraikan kekayaan warisan tapak itu melalui pembangunan ruang yang mengambil kira warisan tapak, satu konsep hotel baharu di pasaran, serta pengalaman gaya hidup yang julung-julung kali diperkenalkan”.

Projek di bekas tapak Sekolah Perempuan Cina Singapura (SCGS) itu sebelum ini diumumkan sebagai sebahagian daripada Pelan Pembaharuan Orchard Road.

Pelan itu bertujuan memperkukuh kedudukan kawasan berkenaan sebagai destinasi gaya hidup ikonik Singapura yang wajib dikunjungi. Ia merangkumi usaha meningkatkan pengalaman pengunjung di jalan serta memperbaharui bangunan.

STB berkata tapak seluas 1.04 hektar di persimpangan Somerset dan Kawasan Pemuliharaan Emerald Hill itu mudah dikunjungi dari kawasan beli-belah utama Orchard Road.

Tapak pembangunan bercampur itu dijangka menarik pelawat dan menggalakkan tempoh penginapan yang lebih lama, serta kunjungan berulang ke kawasan itu.

Ia juga perlu menyediakan ruang awam yang mudah dikunjungi serta kegiatan sepanjang tahun bagi memastikan aliran pengunjung yang berterusan dan penglibatan masyarakat.

Apabila siap, pembangunan itu akan memperkukuh sektor pelancongan Singapura dan memberi manfaat kepada penduduk tempatan dengan menyediakan pelbagai kegiatan dan kemudahan riadah di tengah bandar, tambah STB.

“Kami mahu melihat 37 Emerald Hill menjadi mercu tanda tersendiri yang memperkukuh kedudukan Orchard Road sebagai destinasi gaya hidup ikonik dan menyokong matlamat kami untuk mencapai pertumbuhan pelancongan yang bermutu menjelang 2040,” kata Cik Ashlynn Loo, Pengarah Pembangunan Tanah dan Konsep STB.

Petak tanah itu mempunyai keluasan lantai kasar sekitar 1.67 hektar dan diperuntukkan terutamanya bagi kegunaan layanan tamu dan komersial.

Tempoh pajakannya ialah 50 tahun, dengan pilihan untuk melanjutkan pajakan selama 20 tahun, tertakluk pada ketetapan dan syarat.