Stesen CCL sesak tapi terkawal pada hari kerja pertama sejak pelarasan bermula

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Stesen CCL sesak tapi terkawal pada hari kerja pertama sejak pelarasan bermula

Jan 19, 2026 | 8:39 PM

Stesen CCL sesak tapi terkawal pada hari kerja pertama sejak pelarasan bermula

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
CCL, selaras, kelewatan
Susulan pelarasan perkhidmatan tersebut, kekerapan tren di seluruh Laluan Circle dikurangkan, mengakibatkan masa perjalanan bertambah sehingga 30 minit pada waktu sibuk. - Foto ST

Hari bekerja pertama sejak pelarasan perkhidmatan Laluan Circle (CCL) bermula mengundang pelbagai reaksi penumpang yang perlu menyesuaikan diri dengan perubahan pada laluan dan masa perjalanan.

Ada yang keliru, namun ramai yang sedar akan perubahan tersebut dan menyesuaikan perjalanan mereka pada 19 Januari.

Pelarasan perkhidmatan tersebut dijadualkan berlangsung selama tiga bulan dari 17 Januari sehingga 19 April.

Bagi membantu penumpang merancang perjalanan mereka, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah memperkenalkan perkhidmatan bas ulang-alik pada waktu sibuk pada hari bekerja.

Selain itu, alat pemantauan baru diperkenal bagi mengukur tahap kesesakan di stesen MRT Serangoon, yang merupakan titik pertemuan antara laluan CCL dan laluan North East.

Alat ini beroperasi pada hari bekerja dari 7 hingga 9 pagi mulai 19 Januari.

Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh untuk mengurangkan kesesakan waktu sibuk di stesen pertukaran yang dijangka menerima jumlah penumpang lebih ramai sepanjang tempoh pelarasan ini.

LTA menjelaskan bahawa gangguan perkhidmatan ini tidak dapat dielakkan bagi membolehkan kerja-kerja pengukuhan terowong dijalankan di laluan sepanjang 450 meter antara tiga stesen terlibat, susulan penemuan tanda-tanda kerosakan seperti kebocoran air.

Salah seorang penumpang, Encik Zehan Ang, 45 tahun, yang menetap di Sengkang dan membuat perjalanan ke Dakota untuk menziarahi ibunya, menyifatkan perjalanannya sebagai satu yang masih mengelirukan.

Beliau pada mulanya ke stesen Serangoon untuk menaiki MRT CCL, namun mendapati eskalator di platform dihentikan sementara sebagai langkah kawalan kesesakan.

Encik Ang kemudian menaiki bas ulang-alik ke Paya Lebar dan ditemui oleh The Straits Times ketika sedang beratur untuk menaiki bas seterusnya ke Dakota.

Menurut beliau, terdapat penumpang yang masih “mencuba nasib” untuk menaiki MRT walaupun digalakkan menggunakan bas ulang-alik.

Apabila ST mengunjungi stesen Paya Lebar sekitar jam 8 pagi, barisan penumpang yang menunggu bas ulang-alik bergerak lancar, dengan kakitangan LTA dan pengendali rel SMRT berada di lokasi untuk mengawal keadaan.

Di dalam stesen pada jam 8.35 pagi, keadaan agak sesak namun teratur.

Penghadang digunakan untuk mengawal aliran trafik, manakala kakitangan ditempatkan di lokasi strategik untuk memberi panduan.

Di platform menuju ke Dakota dan Mountbatten, terdapat sekitar 15 hingga 20 orang di setiap pintu pada waktu paling sibuk, namun kesemua penumpang berjaya menaiki tren.

Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Marine Parade–Braddell Heights, Cik Diana Pang, turut dilihat meninjau keadaan di perhentian bas berhampiran stesen Paya Lebar.

Beliau, yang sempat menaiki MRT dari Paya Lebar ke Tai Seng dan kembali semula, menyifatkan perjalanannya lancar.

Sambil menggesa penumpang agar bersabar, beliau menegaskan bahawa kerja-kerja pembaikan terowong tersebut adalah satu keperluan, dan rata-rata penumpang kelihatan sedia maklum mengenai perubahan tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg