Muhammad Aidil Jasman, 20 tahun, diberi tugasan untuk mencipta prototaip berita inovatif yang disesuaikan bagi penonton digital sebagai sebahagian daripada projek merentas disiplin Tahun 3 beliau.
Sebelum ini, beliau tidak mempunyai pengalaman dalam menggunakan alat penerbitan maya.
Kerjasama antara Sekolah Media, Seni dan Reka Bentuk Politeknik Singapura (SP) dengan Studio+65 di bawah SPH Media memastikan Aidil dan pasukannya dibimbing dalam pelbagai peringkat penerbitan untuk rancangan menganalisis filem interaktif mereka berjudul, Beyond the Screen – American Psycho.
Ditugaskan untuk menyepadukan penerbitan maya ke dalam penceritaan digital, pasukan Encik Aidil berusaha mencipta format analisis filem yang menarik dan membawa penonton seolah-olah berada dalam rancangan itu, khususnya untuk penonton Gen Z.
Menyedari bahawa golongan muda banyak menonton berita hiburan dan budaya pop menerusi video pendek, mereka merancang Beyond the Screen – American Psycho yang bukan sahaja penuh dengan maklumat, bahkan menarik secara visual.
“Kami pada mulanya tidak begitu mahir dalam penerbitan maya, tetapi melalui bimbingan daripada Studio+65, kami belajar cara menggunakannya untuk meningkatkan pengalaman penonton,” kata pelajar Diploma dalam Media, Seni dan Reka Bentuk (Reka Bentuk dan Kesan Gerakan)
Bimbingan yang diberikan oleh Studio+65 bukan sahaja membantu dalam penulisan skrip dan pengurusan penerbitan, tetapi juga memberi Encik Aidil dan pasukannya peluang mengambil peranan penting seperti pengarah, jurukamera dan penyunting video.
“Kami diberi kawalan penuh ke atas penerbitan, seolah-olah kami sendiri adalah karyawan industri,” tambahnya.
Ketua Pengarang Kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil SPH Media, Encik Wong Wei Kong, berkata kerjasama itu memberikan pelajar pendedahan dunia sebenar kepada teknik penerbitan terkini dan membolehkan mereka belajar daripada karyawan dalam industri.
“Dengan bimbingan Studio+65 dalam penerbitan maya, pelajar bukan sahaja dapat belajar daripada profesional berpengalaman, malah memperoleh pengalaman yang mempersiapkan mereka untuk memenuhi keperluan industri media yang sentiasa berkembang,” katanya.
Walaupun menghadapi cabaran besar dalam menyesuaikan diri dengan teknologi baru, Encik Aidil percaya bahawa pengalaman ini memberi nilai tambah kepada kemahirannya.
“Industri media sentiasa berubah dan kita perlu terus menyesuaikan diri dengan teknologi baru seperti penerbitan maya dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Ketika dihubungi Berita Harian, Pemangku Pengarah Sekolah Media, Seni dan Reka Bentuk SP, Encik Mark Lu, menekankan kepentingan pelajar untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi seperti AI dan penerbitan maya.
“Kami memastikan pelajar kami bukan sahaja dapat menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi malah, memberi mereka semangat untuk membentuk masa depan industri media,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg