Topik diikuti
Pergi ke BHkuSuami isteri maut, 1 cedera dalam nahas 3 kenderaan di Tampines
Polis giat jejak dua lagi individu larikan diri dari lokasi kejadian
Suami isteri maut, 1 cedera dalam nahas 3 kenderaan di Tampines
Dua individu terkorban menyusuli satu kemalangan melibatkan beberapa kenderaan di Tampines, pada malam 29 Oktober.
Sementara itu, usaha menjejak dua lagi individu yang melarikan diri dari lokasi kejadian sebelum pihak berkuasa tiba sedang giat dijalankan.
Dalam satu kenyataan kepada media pada 30 Oktober, polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka menerima maklumat berhubung kemalangan melibatkan dua kereta dan sebuah motosikal di Tampines Avenue 12 pada sekitar 10.35 malam, 29 Oktober.
Penunggang motosikal lelaki, Allahyarham Mohd Emirul Danial Mohd Zulkifly, berusia 24 tahun, manakala pembonceng wanita ialah isterinya, Allahyarhamha Nursyarafana Norazman, yang juga berusia 24 tahun dan sedang hamil anak kedua mereka.
Mereka dikejarkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia akibat cedera parah.
Seorang pemandu wanita berusia 25 tahun yang memandu salah sebuah kereta yang terlibat dalam nahas berkenaan telah dibawa ke hospital dalam keadaan sedar, tambah polis.
Menurut SCDF, dua individu telah dibawa ke Hospital Besar Changi (CGH) manakala seorang lagi dikejarkan ke Hospital Besar Sengkang (SKH).
Sementara itu, pihak berkuasa sedang giat menjejak pemandu lelaki dan penumpang wanita sebuah lagi kereta yang tiada di lokasi kejadian semasa anggota polis tiba.
Siasatan awal mendedahkan kedua-dua individu berkenaan melarikan diri dari tempat kejadian sejurus selepas nahas berlaku, kata polis.
Siasatan lanjut masih dijalankan.
Gambar dan rakaman video kemalangan tersebut yang tular di media sosial memaparkan keadaan kenderaan terlibat yang remuk teruk.
Sebuah kereta hitam kelihatan berada di kawasan berumput dengan bampar belakang serta nombor pendaftarannya tercabut.
Sebuah lagi kereta terbalik secara mengiring di celah semak dengan bahagian belakangnya kemik teruk.
Sebatang pokok dan tiang pula kelihatan tumbang sehingga menyekat sebahagian laluan pejalan kaki berhampiran.
Kenderaan ketiga, iaitu motosikal mangsa, berada dalam keadaan hancur di atas jalan raya dengan bahagian utamanya (casis) mengalami kerosakan teruk.
Serpihan kenderaan, tumbuhan yang tercabut serta serpihan yang dipercayai pembahagi jalan bertaburan di serata lokasi kejadian.
Beberapa kenderaan dan anggota SCDF turut dilihat berada di tempat kejadian.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 30 Oktober, Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, melahirkan ucapan takziah dan doa buat keluarga mangsa.
Beliau turut luahkan rasa amat prihatin terhadap laporan bahawa dua individu telah meninggalkan tempat kejadian dan pihak polis kini sedang mencari mereka.
“Biar kita jelas: Meninggalkan tempat kemalangan tanpa berhenti, membuat laporan atau menghulurkan bantuan seperti yang ditetapkan undang-undang merupakan kesalahan serius di Singapura.
“Di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya, pesalah boleh dikenakan denda, hukuman penjara atau kedua-duanya.
“Tuduhan lebih berat boleh dikenakan bergantung pada hasil dapatan siasatan.
“Namun di luar batasan undang-undang, perlu wujud tanggungjawab asas kemanusiaan.
“Apabila nyawa menjadi taruhan, setiap saat amat berharga.
“Kita tidak wajar sesekali meninggalkan seseorang yang memerlukan bantuan,” kata beliau, sambil menggesa para saksi untuk tampil membantu pihak polis.
Nahas maut itu berlaku di tengah-tengah peningkatan kes kemalangan jalan raya.
Kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kecederaan meningkat daripada 3,748 kes pada separuh pertama 2025 kepada 3,869 kes bagi tempoh sama pada 2026.
Manakala bilangan mangsa yang cedera bertambah daripada 4,894 kepada 5,090 orang.
Penunggang dan pembonceng motosikal terlibat adalah lebih daripada separuh, atau 55.6 peratus, daripada keseluruhan kemalangan jalan raya dalam tempoh berkenaan.
Kumpulan tersebut terus menjadi pengguna jalan raya terbesar yang terlibat dalam kemalangan maut, merangkumi 45.9 peratus daripada jumlah keseluruhan korban nahas jalan raya pada separuh pertama 2026.