Ketika kebanyakan orang masih lena tidur, Cik Siti Nadzirah Mohd Khairi, bangun sekitar 3.30 pagi dan bersiap untuk melalui perjalanan panjang dari Johor Bahru ke Singapura.
Pada usia 35 tahun, beliau merupakan tulang belakang keluarganya – menggalas tanggungjawab sebagai Jurutera Sokongan Teknologi Maklumat (IT).
Beliau, yang belum berumah tangga, mencari rezeki di Singapura demi keselesaan keluarga di Johor Bahru.
Keluarganya, terdiri daripada empat orang, tinggal serumah di kawasan estet perumahan di Masai, Johor Bahru.
Adiknya, 32 tahun, bekerja sebagai eksekutif jualan langsung bersama adik iparnya, 29 tahun.
Seawal 4.30 pagi, Cik Nadzirah melangkah keluar dari rumah dan memulakan rutin perjalanannya itu.
Dalam dingin pagi, beliau memandu ke tempat letak kereta berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
Setibanya di situ sekitar 5.15 pagi, Cik Nadzirah berjalan kaki ke CIQ BSI.
“Kadangkala, barisan panjang di CIQ membuat saya tertanya-tanya, adakah saya akan sempat ke tempat kerja tepat pada masanya?” katanya.
Setelah melalui pemeriksaan, beliau menaiki bas ke Kranji disusuli dengan perjalanan menaiki MRT ke Boon Lay sekitar 6.40 pagi.
Beliau akhirnya menaiki perkhidmatan bas 249 dari stesen MRT Boon Lay yang membawanya ke tempat kerjanya di kawasan Tanjong Kling Road.
“Saya tiba di pejabat kira-kira 8 pagi. Ini adalah waktu yang saya gunakan untuk bersiap, sarapan ringan sebelum mula bekerja pada 8.30 pagi,” tambahnya.
Cik Nadzirah telah menjalani rutin kehidupan penuh cabaran sejak 2014.
Pandemik Covid-19 memaksanya berhenti kerja di Singapura seketika dan mencari pekerjaan di Malaysia.
“Namun, gaji dan keadaan kerja di Johor tidak cukup untuk menampung keperluan harian kami. Kembali bekerja di Singapura adalah sesuatu yang amat saya perlukan,” katanya.
Cik Nadzirah telah lama menyesuaikan diri dengan rutin harian yang meletihkan, melibatkan kededua cabaran fizikal dan emosi.
“Kadangkala lutut saya akan terasa sakit dan perjalanan menjadi sukar.
“Sering kali, saya terpaksa ke farmasi untuk mendapatkan ubat,” ujarnya.
Sebagai anak sulung, beliau berasa dirinya memikul tanggungjawab berat, iaitu menjaga ibunya yang berusia 59 tahun.
“Jika saya tidak berdisiplin, keluarga saya akan menderita. Ini bukan hanya tentang diri saya sendiri, namun ini tentang mereka yang saya sayangi,” ujarnya.
Ditanya bagaimana perjalanan panjang ini mempengaruhi kehidupannya, Cik Nadzirah menjawab:
“Saya cuba melihat perjalanan ini sebagai satu bentuk senaman. Jika saya mempunyai masalah, saya tidak membiarkannya mengawal saya.
“Justeru, walaupun saya menaiki pengangkutan awam, saya akan ubah pemikiran untuk bersifat positif. Bak minda atasi tubuh.”
Nasihatnya kepada mereka yang mungkin menghadapi keadaan yang serupa, adalah supaya sentiasa bersedia dan bersikap praktikal.
“Ketahui tempoh perjalanan anda dan rancang terlebih dahulu.
“Jika anda mempunyai tanggungjawab dan komitmen, rasa malas itu akan dapat diatasi,” katanya penuh yakin.
Melihat akan masa depannya di Singapura, Cik Nadzirah ternyata mempunyai semangat dan bercita-cita tinggi.
“Saya tidak mempunyai umur tertentu untuk berhenti bekerja di sini.
“Selagi matlamat kestabilan kewangan saya belum tercapai, saya akan terus berjuang,” tambahnya.
Gaji antara $2,500 dengan $3,000 yang diterima Cik Nadzirah, meskipun sederhana, menjadi sumber kekuatannya, apatah lagi dengan nilai ringgit Malaysia yang kini rendah.
Namun, bagi Cik Nadzirah, motivasi utamanya bukannya wang semata-mata.
“Saya suka pekerjaan saya di Singapura kerana persekitarannya yang menyokong pekerja serta teknologi canggih yang digunakan.
“Pengurusan yang baik dan peraturan yang tegas membuatkan saya berasa selamat. Walaupun saya bukan warga Singapura, saya tahu hak saya dilindungi,” luahnya penuh rasa syukur.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg