Mahasiswa daripada isi rumah paling memerlukan – yang berpendapatan per kapita tidak lebih $1,100 – tidak perlu membayar yuran pengajian di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada tahun akademik baru ini.
NTU akan menambah dermasiswa pemerintah yang sedia ada sebagai subsidi yuran pengajian sepenuhnya untuk pelajar daripada golongan itu mulai Ogos 2024, kata NTU pada 2 Februari.
Lebih 3,000 mahasiswa dijangka meraih manfaat daripada skim bantuan kewangan yang dipertingkat itu, lapor The Straits Times (ST).
Ia merupakan sokongan tambahan kepada rangkaian skim bantuan kewangan yang membantu meringankan perbelanjaan pendidikan dan kos sara hidup pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Kami mahu pastikan setiap pelajar, tanpa mengira latar belakang kewangan masing-masing, mempunyai akses kepada pengalaman belajar di universiti yang kaya serta menyeluruh yang ditawarkan NTU,” jelas presiden NTU, Encik Ho Teck Hua.
Pada masa ini, sekurang-kurangnya 54 peratus yuran pengajian pemegang dermasiswa diberikan subsidi, kata NTU.
Jika layak, golongan pelajar itu boleh menokok baki yuran pengajian mereka dengan menggunakan biasiswa dan dermasiswa tambahan.
Mereka dikehendaki memohon untuk mendapatkan bantuan kewangan secara tahunan, tertakluk kepada kelulusan pejabat bantuan kewangan.
NTU sedang meningkatkan usaha mengumpul dana untuk membangunkan dana endowmen bagi memastikan pelajar yang paling memerlukan dapat terus menikmati bantuan penuh bagi yuran pengajian mereka.
“Kami beriltizam melakukan segala yang termampu untuk memberi pelajar yang paling memerlukan sokongan, peluang yang adil untuk mencapai potensi penuh mereka,” kata Profesor Ho.
Pada 2022, Universiti Nasional Singapura (NUS) mengumumkan skim serupa, yang mengecualikan pelajar Singapura sepenuh masa daripada membayar yuran pengajian jika mereka datang daripada pendapatan isi rumah per kapita sehingga $1,000.
Peningkatan sokongan daripada NUS ini telah memberi manfaat kepada kira-kira 3,300 pelajar.
Mereka dalam kursus umum seperti kemanusiaan dan sains akan menerima tambahan $2,300 hingga $7,000 setahun dalam bantuan kewangan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg