Walaupun terpaksa berulang-alik dua hingga tiga kali seminggu dari Batam ke Singapura, ia tidak mematahkan semangat Encik Mohamed Ismail Ibrahim, 71 tahun.
Pemeriksa elektrik pihak ketiga itu, yang mempunyai perniagaan sendiri, biasa bertolak dari rumahnya di Tiban, Batam selepas subuh untuk menaiki feri selama sejam dan tiba di Singapura sekitar 8 pagi.
Setelah selesai tugas, Encik Ismail akan menaiki feri terakhir pada 7.30 malam untuk pulang ke Batam melalui pelabuhan feri Sekupang.
Ini merupakan rutin beliau sejak sebelum pandemik Covid-19.
Namun, beliau berkongsi dengan Berita Minggu (BM) bahawa harga tiket bagi pengangkutan feri telah berubah selepas pandemik Covid-19.
“Dahulu saya bayar sekitar $180 sebulan untuk pas tiket bulanan, sebelum cukai pelabuhan laut, untuk perjalanan tidak terhad antara Singapura dengan Batam.
“Kemudian saya diperkenalkan oleh seorang teman kepada pas tahunan yang berharga $1,800. Saya fikir ia lebih berbaloi,” ujarnya.
Pada Mei 2024, terdapat laporan bahawa Suruhanjaya Pengawasan Persaingan Perniagaan (KPPU) Indonesia mula menyiasat pengusaha feri Batam-Singapura berhubung dakwaan amalan kartel yang menyebabkan harga tiket melambung selepas 2022.
Suruhanjaya itu berkata pengendali telah mengenakan tambang antara 800,000 rupiah dengan 900,000 rupiah ($66 hingga $74) untuk satu perjalanan pada separuh pertama 2022, lebih dua kali ganda daripada tambang biasa iaitu antara 270,000 rupiah dengan 450,000 rupiah.
Bagi Encik Ismail yang telah berulang-alik sejak 2014, meskipun kos tambang kian meningkat, susunan jadualnya sesuai kerana isteri beliau, Cik Kustiyah, 44 tahun, dan anak perempuan mereka, Awalina Mohamed Ismail, enam tahun, menetap di Batam sepenuh masa.
Sebagai seorang yang mempunyai pengalaman melabur dalam hartanah di Johor Bahru dan Melaka di Malaysia dan Batam di Indonesia, Encik Ismail memilih Batam sebagai kota pilihan untuk bersara.
Ini kerana beberapa sebab termasuk lokasinya yang berhampiran dengan Singapura sekiranya berlaku kecemasan.
Ia juga tidak terlalu jauh daripada anggota keluarganya di samping kos perbelanjaan bulanan yang berpatutan serta gaya kehidupan yang lebih santai.
“Oleh kerana saya mempunyai visa pasangan yang mengizinkan saya tinggal di sini (Batam), saya rasa ia lebih baik.
“Lagipun, anak saya bersekolah di sekolah privet yang mempunyai kelonggaran masa sedikit berbanding dengan sekolah pemerintah dengan waktu sekolah berlanjut hingga ke Sabtu.
“Rumah saya pun telah habis dibayar dan saya baru mengubah suai rumah ini dengan menambah lantai kedua dengan belanja sekitar $50,000,” kongsi Encik Ismail yang mempunyai tiga anak yang sudah berumah tangga hasil perkahwinan pertama beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg