Topik diikuti
Pergi ke BHkuSukan bola sepak sambil berjalan perkukuh kerjasama serantau, satukan pelbagai generasi
Sukan bola sepak sambil berjalan perkukuh kerjasama serantau, satukan pelbagai generasi
Sukan bola sepak sambil berjalan perkukuh kerjasama serantau, satukan pelbagai generasi
Ramai yang mengenali sukan bola sepak, tetapi tidak ramai yang mengetahui tentang bola sepak sambil berjalan atau ‘walking football’, yang diadaptasi daripada bola sepak tradisional dengan rentak permainan lebih perlahan, khususnya bagi warga emas.
Dengan penubuhan Asia Oceania Alliance of Walking Football (AOAWF) pada 4 November, ia bertujuan memperkukuh kerjasama serantau antara negara Asia dan Oseania menerusi perkongsian kepakaran, pendidikan dan pengetahuan bagi menyokong perkembangan sukan bola sepak sambil berjalan di rantau ini.
Negara anggota perikatan itu termasuk Australia, New Zealand, Malaysia, Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand, Pakistan, India, Nepal dan Bangladesh.
Majlis pelancaran yang berlangsung di SMRT Clubhouse di Bishan itu, dihadiri Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, yang juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kewangan dan Perdagangan dan Perusahaan.
Majlis itu menandakan satu pencapaian penting bagi perkembangan sukan bola sepak sambil berjalan ini.
Dalam satu kenyataan media, Encik Saktiandi berkata:
“Salah satu keistimewaan bola sepak sambil berjalan ialah datuk atau nenek boleh bermain bersama dengan cucu mereka dalam satu pasukan.
“Saya bangga kerana sukan berbilang generasi seperti ini dimulakan di Stadium Toa Payoh pada 2019.
“Menerusi satu perikatan, Singapura dan Australia dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang cara menjadikan permainan tersebut selamat dan mesra bagi pemain dengan pelbagai keupayaan.
“Saya berharap lebih ramai penduduk di rantau ini berpeluang menyertai sukan bola sepak sambil berjalan, sama ada mereka yang ingin kembali bermain sukan yang diminati atau mencubanya buat kali pertama.”
Perikatan itu menyediakan wadah bagi negara di Asia dan Oseania yang terlibat dalam sukan bola sepak sambil berjalan untuk memperkukuh kerjasama mempertingkatkan sukan tersebut agar dapat memberi manfaat kepada warga emas dan masyarakat yang terbentuk menerusi sukan itu.
Sukan bola sepak sambil berjalan mula diperkenalkan di Singapura pada 2016 khusus untuk warga emas.
Sukan itu mula melibatkan pelbagai generasi di Stadium Toa Payoh pada 2019.
Sejak itu, sukan tersebut berkembang sebagai kegiatan rekreasi dan juga sukan kompetitif.
Ia merupakan sukan inklusif yang menggalakkan penyertaan tanpa mengira usia, bangsa, keupayaan, tahap kecergasan atau keadaan kesihatan seseorang.
Anggota Pengasas Utama yang menerajui pelancaran perikatan itu diwakili Ketua Strategi Sejagat merangkap Presiden Walking Football 4 Health Global (WaF4H) Singapura, Cik Dee Dee Ayra Salle, yang lebih dikenali sebagai Dee Dee Mahmood, serta Pengerusi Walking Football Federation of Australia (WFFA), Encik Derek Finch.
Turut hadir ialah anggota masyarakat Walking Football dan Jawatankuasa Rangkaian Sukan Masyarakat (CSN) Toa Payoh.
Selain itu, majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) AOAWF turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Adelaide United Football Club, Australia, Encik Nathan Kosmina; Ketua Jualan Serantau Asia Tenggara Kashima Antlers Football Club, Jepun, merangkap anggota Rangkaian Pengurusan Kelab Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Encik Darwin Jalil.
Perikatan itu dibentuk berasaskan kerjasama antara WaF4H dengan WFFA, yang menandatangani MOU pada 2023 bagi menyokong perkembangan sukan bola sepak sambil berjalan di negara masing-masing.
Kerjasama tersebut telah menghasilkan beberapa inisiatif bersama, termasuk kejohanan bola sepak antarabangsa, Cruise International Walking Football Championships, yang mula diperkenalkan oleh Singapura pada 2024 sebelum dianjurkan bersama pada 2026, serta Kongres dan Kejohanan Bola Sepak Berjalan Dunia di Bali pada 2025.
AOAWF bukan badan pentadbir sukan dan setiap negara anggota mempunyai hak undi yang sama rata.
Sebaliknya, ia berperanan sebagai pemudah cara dengan bekerjasama bersama masyarakat sukan bola sepak sambil berjalan, persatuan bola sepak dan badan-badan berkaitan, termasuk Fifa serta konfederasi serantau, apabila kerjasama sedemikian dapat memberi manfaat kepada sukan itu.
Mesyuarat AOAWF yang seterusnya akan diadakan sempena Sidang Puncak Dunia, yang merupakan sebahagian daripada kejohanan dunia, Walking Football World Cup, di Bali dari 16 hingga 20 Jun 2027.
Singapura merupakan antara negara yang akan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.