Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sukarelawan Cina bakar, sumbang kek sempena Hari Raya

Peluang belajar budaya Melayu sambil pupuk semangat masyarakat
Mar 31, 2025 | 5:30 AM
Cik Cindy Chia (kiri) adalah antara kira-kira 10 sukarelawan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Toa Payoh West-Thomson (TWT) yang membakar kek mentega untuk diedarkan kepada jemaah Masjid Muhajirin pada 31 Mac, iaitu hari pertama Syawal. Bersamanya adalah Pengerusi MAEC TWT, Cik Rashidah Othman.
Cik Cindy Chia (kiri) adalah antara kira-kira 10 sukarelawan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Toa Payoh West-Thomson (TWT) yang membakar kek mentega untuk diedarkan kepada jemaah Masjid Muhajirin pada 31 Mac, iaitu hari pertama Syawal. Bersamanya adalah Pengerusi MAEC TWT, Cik Rashidah Othman. - Foto MAEC TOA PAYOH WEST-THOMSON

Walaupun berbangsa Cina, Cik Cindy Chia langsung tidak berasa kekok, menyingsing lengan dan menyumbang kepada sambutan Hari Raya bagi masyarakat Melayu/Islam pada 2025.

Sebagai sukarelawan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Toa Payoh West-Thomson (TWT), beliau bersama sukarelawan lain membakar kira-kira 1,000 kek mentega pada 29 Mac untuk diedarkan kepada jemaah Masjid Muhajirin pada 31 Mac, iaitu hari pertama Syawal.

“Saya sangat gembira dapat menyumbangkan kek-kek ini bagi membawa kebahagiaan kepada masyarakat Melayu/Islam semasa Hari Raya.

“Walaupun ia hanya sumbangan kecil daripada saya dan sukarelawan lain, saya berharap ia dapat menjadi sebahagian daripada perayaan mereka,” jelas Cik Chia, 51 tahun, seorang pengurus akaun.

Ini merupakan penglibatan pertamanya dalam sambutan Hari Raya sejak menyertai TWT MAEC kira-kira dua tahun lalu atas undangan pengerusi jawatankuasa, Cik Rashidah Othman.

Sejak menyertai TWT MAEC, Cik Chia berkata beliau mendalami pelbagai aspek budaya Melayu, dari pakaian tradisional hingga puisi-puisi Melayu yang penuh makna menerusi program Bulan Bahasa.

Membakar kuih dan kek bukan perkara asing baginya, tetapi ini merupakan kali pertama Cik Chia membuat kek untuk anggota masyarakat yang bukan keluarganya.

“Kerana kami membuat kek untuk orang ramai, kami perlu berhati-hati dengan bahan-bahan yang digunakan.

“Kami elak menggunakan kacang kerana ada orang yang mempunyai alahan kacang. Kami juga perlu mengurangkan kandungan gula tetapi harus memastikan yang kek tetap sedap. Kami perlu mengambil kira semua faktor ini,” jelasnya.

Walaupun baru dalam TWT MAEC, Cik Chia tidak berasa kekok memberikan cadangan semasa mesyuarat bagi acara besar seperti acara berbuka puasa 2025 dan Bulan Bahasa 2024.

Menurutnya, adalah penting untuk beliau menghormati dan memahami pandangan orang lain terlebih dahulu sebelum memberi cadangan sendiri.

Bagi Cik Chia, pengalaman menyertai TWT MAEC bukan sahaja memberinya peluang untuk belajar tentang budaya Melayu, tetapi juga menyumbang kepada keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Singapura.

“Pengalaman saya sebagai sukarelawan begitu membuka mata saya kerana saya dapat belajar perkara baru tentang budaya Melayu, bertemu dengan kawan-kawan baru, dan yang paling penting, menyumbang kembali kepada masyarakat.

“Singapura adalah sebuah negara berbilang kaum yang inklusif, jadi saya terharu saya dapat memainkan peranan dalam memupuk semangat perpaduan antara kaum dan mempererat hubungan antara masyarakat.

“Jika setiap daripada kita dapat memahami budaya masing-masing, lebih mudah untuk kita menghargai cabaran yang dihadapi oleh orang lain. Ini membolehkan kita untuk saling memahami dan menghargai satu sama lain dengan lebih baik,” kongsinya.

“Saya sangat gembira dapat menyumbangkan kek-kek ini bagi membawa kebahagiaan kepada masyarakat Melayu/Islam semasa Hari Raya... Walaupun ia hanya sumbangan kecil daripada saya dan sukarelawan lain, saya berharap ia dapat menjadi sebahagian daripada perayaan mereka.”
Cik Cindy Chia, sukarelawan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Toa Payoh West-Thomson.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg