Sukarelawan jadi ‘penyelaras hidup jiran’, tidak pandang remeh gangguan, kecemasan
Sukarelawan jadi ‘penyelaras hidup jiran’, tidak pandang remeh gangguan, kecemasan
Sebagai sukarelawan Pasukan Respons Kecemasan Masyarakat (Cert) Persatuan Rakyat (PA) di Rangkaian Penduduk (RN) Tampines Parkview, Encik Abdul Razack menyifatkan peranannya itu seakan ‘penyelaras kehidupan’.
Beliau meletakkan tanggungjawab menyapa penduduk di RN itu ke atas dirinya sendiri untuk memahami jika ada yang benar-benar memerlukan bantuan.
Bapa dua anak berusia 40 tahun itu, yang telah menabur bakti selama lima tahun sebagai sukarelawan Cert PA, berkata tindakan menegur sapa ini menjadi begitu penting dalam tempoh gangguan atau kecemasan.
Itulah sebabnya beliau memberi penekanan pada kepentingan mendidik dan memberi kesedaran kepada jiran-jiran agar mereka dapat bersiap siaga menghadapi apa jua kemungkinan.
Beliau berkata: “Boleh dikatakan… orang ramai menganggap sesuatu gangguan atau kecemasan yang berlaku kepada negara lain tidak akan berlaku kepada negara kita.
“Wujudnya tanggapan sebegini menunjukkan kita menganggap remeh gangguan atau kecemasan tersebut.
“Hakikatnya, gangguan boleh berlaku pada bila-bila masa dan kepada mana-mana masyarakat atau negara. Jadi kita harus sentiasa bersiap sedia.”
Encik Razack berkata demikian ketika ditemui Berita Harian (BH) selepas terlibat sama dalam inisiatif perintis yang dipanggil Mobilisasi Komuniti.
Inisiatif itu diadakan sejajar dengan pelancaran Latihan SG Ready dan acara Peringatan Pertahanan Mutlak pada 1 Februari, yang diadakan di Our Tampines Hub (OTH) dan dirasmikan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.
Inisiatif tersebut melibatkan senario gangguan bekalan elektrik dan ketersambungan digital, dengan lebih 30 sukarelawan TD Champions dan Cert PA seperti Encik Razack dikerahkan bagi mendekati penduduk yang memerlukan.
Bersama-sama, mereka mendekati isi rumah di dua blok HDB berhampiran OTH untuk menyampaikan maklumat penting.
Ini di samping mendidik penduduk berkenaan apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku gangguan pada ketersambungan digital dan bekalan elektrik, serta mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan.
Beliau berkata inisiatif seperti Mobilisasi Komuniti adalah wadah untuk mempraktikkan kemahiran sukarelawan dan nilai perpaduan antara masyarakat.
“Saya dapati betapa penting bagi jiran-jiran saling menjaga antara satu sama lain.
“Latihan ini, secara khususnya, adalah satu peluang yang baik untuk kita menerapkan nilai-nilai komuniti yang telah kita amalkan (sejak sekian lama), seperti mengambil berat dan saling menyokong satu sama lain.
“Lebih-lebih lagi dalam era yang lebih terhubung kini, dunia teras lebih terpencil. Ada yang tidak saling kenal antara jiran. Justeru, inisiatif (dan latihan) seperti ini dapat sedikit sebanyak meningkatkan penglibatan antara penduduk,” ujar Encik Razack.

