Sumbangan dana buat bekas penjaga gol Singapura, Rezal Hassan, yang pada September 2025 diserang angin ahmar, telah melonjak kepada lebih $15,000 – jumlah sasaran awal yang ditetapkan dalam laman web, give.asia.

Setakat 20 April, sumbangan yang diterima telah mencecah lebih $18,000.

Isteri Rezal Hassan, Cik Suhaila Mohamad Sahari, 49 tahun, memberitahu Berita Harian, ini merupakan kali kedua dana terkumpul itu telah melebihi sasaran yang telah ditetapkan.

Menurut beliau, kali pertama pengumpulan dana itu telah mencapai sasaran asal lebih $5,000 adalah pada akhir acara perlawanan amal yang diadakan pada 18 April di Our Tampines Hub.

Justeru, sumbangan daripada lebih 270 penyumbang tersebut akan dimanfaatkan untuk membiayai kos perubatan Rezal sepanjang proses pemulihannya.

Menurut Cik Suhaila Mohamad Sahari (kiri), jumlah dana yang telah terkumpul dapat digunakan buat pembiayaan kos perubatan suaminya, Rezal Hassan, yang merangkumi ubat-ubatan yang perlu dibeli dan kos terapi yang perlu dijalani dua kali seminggu di hospital.
Menurut Cik Suhaila Mohamad Sahari (kiri), jumlah dana yang telah terkumpul dapat digunakan buat pembiayaan kos perubatan suaminya, Rezal Hassan, yang merangkumi ubat-ubatan yang perlu dibeli dan kos terapi yang perlu dijalani dua kali seminggu di hospital. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
Rakan-rakan dan bekas rakan sepasukan Rezal Hassan (tengah, berbaju hijau), berkumpul untuk perlawanan bola sepak amal antara pasukan sosial Sporting Tampines dengan Kelab Sukan Dramatis Singapura di Our Tampines Hub pada 18 April.
Rakan-rakan dan bekas rakan sepasukan Rezal Hassan (tengah, berbaju hijau), berkumpul untuk perlawanan bola sepak amal antara pasukan sosial Sporting Tampines dengan Kelab Sukan Dramatis Singapura di Our Tampines Hub pada 18 April. - Foto YAZRUL RAHMAN MOHAMED YASSIN

Kos perubatan beliau termasuk ubat-ubatan yang perlu dibeli dan kos terapi yang perlu Rezal jalani dua kali seminggu di hospital.

Cik Suhaila yang terpaksa berhenti bekerja sebagai peniaga di kantin sekolah demi menjaga suaminya.

Beliau turut menyatakan bahawa lebihan dana yang disumbangkan akan dapat meringankan beban kewangan bagi perbelanjaan harian mereka.

Terkejut dengan dana yang telah terkumpul, beliau berkata:

“Saya dan suami sungguh terkejut dan terharu dengan jumlah yang terkumpul.

“Kami juga terharu dan tak sangka bahawa jumlah semakin meningkat selepas acara perlawanan amal itu.

“Kami sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang telah menderma dan menjayakan acara amal pada 18 April.”