Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sumbangan, kepimpinan SM Lee disanjung

Nov 23, 2024 | 9:12 PM
Beberapa penjawat kanan Parti Tindakan Rakyat (PAP) - (dari kiri) Penolong Setiausaha Agung, Encik Chan Chun Sing; Timbalan Setiausaha Agung, Encik Lawrence Wong; Setiausaha Agung, Encik Lee Hsien Loong; Pengerusi, Encik Heng Swee Keat; Naib Pengerusi, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; dan Penolong Setiausaha Agung, Encik Desmond Lee, bergambar bersama lukisan yang diberi kepada Encik Lee sebagai tanda penghargaan bagi sumbangannya selaku pemimpin parti itu.
Beberapa penjawat kanan Parti Tindakan Rakyat (PAP) - (dari kiri) Penolong Setiausaha Agung, Encik Chan Chun Sing; Timbalan Setiausaha Agung, Encik Lawrence Wong; Setiausaha Agung, Encik Lee Hsien Loong; Pengerusi, Encik Heng Swee Keat; Naib Pengerusi, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; dan Penolong Setiausaha Agung, Encik Desmond Lee, bergambar bersama lukisan yang diberi kepada Encik Lee sebagai tanda penghargaan bagi sumbangannya selaku pemimpin parti itu. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Kepimpinan Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, sepanjang 20 tahun sebagai Perdana Menteri membolehkan Singapura mengharungi beberapa cabaran besar, seperti Krisis Kewangan Global dan pandemik Covid-19, sambil memastikan rakyat Singapura tidak ketinggalan.

Encik Lee membentuk sebuah masyarakat yang peduli dan bersatu padu untuk berkongsi faedah pertumbuhan, di samping memberi jaminan sokongan pemerintah menerusi skim seperti SkillsFuture, Pakej Generasi Perintis, Pakej Generasi Merdeka dan ComCare.

Ini ditonjolkan Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, yang juga Pengerusi Parti Tindakan Rakyat (PAP), dalam ucapannya memberi penghormatan kepada Encik Lee, Setiausaha Agung parti itu, pada majlis jamuan malam dan anugerah ulang tahun ke-70 PAP di Singapore Expo pada 23 November.

“Encik Lee memimpin pembangunan kita menjadi sebuah negara bijak dan bandar global yang menghubungkan Asia dengan seluruh dunia, dan ini amat mencabar pada tahun-tahun kebelakangan ini, apabila persaingan kuasa besar semakin sengit.

“Usaha transformasi kita membolehkan syarikat dan pekerja kita merebut peluang baru dalam ekonomi global, dan hubungan kita dengan NTUC menjadi lebih kukuh berbanding sebelum ini.

“Setiausaha Agung telah membentuk masyarakat prihatin dan bersatu padu untuk berkongsi faedah pertumbuhan dengan semua,” ujar Encik Heng.

Encik Lee, 72 tahun, berkhidmat dengan PAP dan kawasan undi Teck Ghee selama 40 tahun sejak 1984. Beliau mengetuai 10 Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu secara berturut-turut sepanjang 20 tahun.

Semasa majlis itu, satu video yang mengandungi kata-kata penghormatan daripada anggota PAP ditayangkan untuk mengimbas kembali kepimpinan Encik Lee, sebelum beliau diberi hadiah penghargaan berupa lukisan yang disampaikan oleh Encik Heng.

Menyampaikan ucapan ringkas setelah menerima hadiah penghargaan itu, Encik Lee berkata:

“Saya hanya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dari lubuk hati saya kepada anda semua – semua rakan seperjuangan PAP, rakan-rakan saya dan mereka yang pernah bekerja bersama saya di kawasan undi (Teck Ghee) dan pemerintah…

“Apa sahaja yang saya lakukan sebagai Setiausaha Agung dan Perdana Menteri, saya telah melakukannya dengan bantuan dan sokongan anda, dan tidak mungkin ia dilakukan tanpa sokongan itu.

“Saya berterima kasih kepada anda… Peluang saya dapat berkhidmat adalah satu penghormatan dan keistimewaan luar biasa,” ujar Encik Lee.

Pada majlis anugerah tersebut, seramai 448 aktivis PAP diiktiraf atas dedikasi dan sumbangan mereka.

Selain dedikasi mereka dalam berkhidmat kepada penduduk di kawasan undi di seluruh Singapura, aktivis tersebut diiktiraf kerana memperjuangkan pergerakan penting kepada rakyat Singapura, termasuk pembangunan wanita, penjagaan warga emas, serta kemapanan.

Anugerah tertinggi, Pingat Bintang Khidmat Cemerlang, diterima oleh mantan pemegang jawatan politik, Dr S. Vasoo, yang berkhidmat kepada PAP, kawasan undi Teck Ghee dan Singapura selama hampir 40 tahun.

Pada 24 November, PAP akan mengadakan persidangan dwitahunannya untuk melantik CEC ke-38 parti itu. Ini dijangka memberi laluan kepada Perdana Menteri Lawrence Wong untuk memimpin parti pemerintah itu pada pilihan raya akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg