Sumbangan masyarakat perkasa insan kurang upaya melalui program Al-Quran Braille
Sumbangan masyarakat perkasa insan kurang upaya melalui program Al-Quran Braille
Keprihatinan dan kepedulian terhadap orang kurang upaya adalah satu sikap mulia. Sama ada kurang upaya dari segi fizikal ataupun daya penglihatan.
Persatuan Belia Bedok untuk Insan Kurang Upaya (BYSD) sentiasa komited dalam memperkasakan golongan kurang upaya melalui pelbagai program bersandarkan ajaran Islam yang inklusif dan berterusan.
BYSD menyeru masyarakat agar memberi sokongan bagi memastikan usaha murni ini dapat diteruskan dan diperluaskan, khususnya untuk mereka yang kurang daya penglihatan.
Antara daya usaha utama BYSD ialah wakaf Al-Quran Braille. Ini akan memanfaatkan penerima kurang daya penglihatan memiliki dan mempelajari Al-Quran dalam tulisan Braille secara berdikari.
Sumbangan yang diterima bukan sahaja membantu penyediaan bahan pembelajaran khas, bahkan menyokong pelaksanaan Program Al-Quran Braille serta Madrasah Untuk Insan Kurang Upaya (MIKU) yang menyediakan kelas bimbingan agama secara tersusun dan mesra orang kurang upaya (OKU).
Salah seorang yang kurang daya penglihatan dan kini menjadi pelajar Al-Quran Braille BYSD ialah Encik Muhammad Firdhaus Ja’afar. Beliau berkata:
“Saya mengambil masa agak lama mencari tempat untuk belajar membaca Al-Quran dalam bentuk Braille di Singapura.
“Sejak BYSD memulakan Program Al-Quran Braille ini, saya rasa amat gembira dan teruja. Saya berazam akan dapat membaca Al-Quran sebaik mungkin.”
BYSD amat mengharapkan sokongan daripada masyarakat Melayu/Islam setempat.
Sehubungan itu, persatuan kebajikan tersebut menawarkan pakej Badal Umrah yang menawarkan khatam Al-Quran percuma di Masjidil Haram sebagai nilai tambah kepada penyumbang.
Turut disediakan ialah pakej Wakaf Masjid dan Wakaf Telaga Air bagi masyarakat memerlukan. Selain itu, BYSD turut menawarkan tajaan Iftar Ramadan untuk golongan susah dan serba kekurangan di luar negara.
Sebahagian hasil sumbangan ini akan disalurkan kepada dana BYSD bagi menampung kos operasi, pembangunan program dan kebajikan.
Dalam usaha memperluaskan impak kebajikan, BYSD juga merancang akan membawa anggotanya menunaikan ibadah umrah pada masa akan datang. Ini tahun keenam BYSD menjalankan rancangan ini.
Bagi kebanyakan ahli golongan kurang upaya BYSD, peluang ini amat bermakna dan mungkin sukar menjadikannya kenyataan tanpa sokongan orang ramai. Justeru, sumbangan orang ramai amat diperlukan bagi menjayakan hasrat tersebut.
BYSD mengalu-alukan masyarakat Melayu Islam setempat supaya menyumbangkan derma di samping berpeluang beramal jariah.
Sumbangan derma ini akan membantu memperkasakan golongan kurang upaya agar terus mendalami dan menghayati pembelajaran Islam dengan lebih sempurna.
Derma kepada BYSD
1. Untuk pertanyaan, sila hubungi BYSD di talian 6246-1421 atau WhatsApp ke talian 9757-7950.
2. Layari portal www.bysd.sg untuk hulurkan sumbangan. Penderma boleh menderma melalui PayNow atau perbankan Internet.
3. Kunjungi pejabat BYSD di Blok 10 Chai Chee Road #01-05 Singapura 467010. Waktu operasi dari Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang; Sabtu 9 pagi hingga 12.30 tengah hari.

