Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sumbangan pembantu rumah dirai di Karnival Hari Kebangsaan

Aug 11, 2024 | 6:16 PM
Cik Ade Halimah, 38 tahun, seorang pembantu rumah yang berasal dari Jawa Barat, Indonesia, merupakan salah seorang daripada 500 pembantu rumah migran (MDW) yang hadir pada acara Karnival Hari Kebangsaan di SowCare@Armenian di City Hall, pada 11 Ogos.
Cik Ade Halimah, 38 tahun, seorang pembantu rumah yang berasal dari Jawa Barat, Indonesia, merupakan salah seorang daripada 500 pembantu rumah migran (MDW) yang hadir pada acara Karnival Hari Kebangsaan di SowCare@Armenian di City Hall, pada 11 Ogos. - FOTO JANGKAUAN PEKERJA DOMESTIK PERIKATAN (ADEO)

Hari Ahad biasanya merupakan hari cuti bagi Cik Ade Halimah, seorang pembantu rumah yang akan meluangkan masa itu untuk berehat atau melakukan kegiatan kemasyarakatan yang beliau gemari.

Namun, pada 11 Ogos kegiatan yang disertainya agak berbeza.

Cik Ade Halimah, 38 tahun, yang sudah bekerja di Singapura selama lima tahun menghadiri acara Karnival Hari Kebangsaan, bersama rakan-rakannya yang lain, di mana beliau telah mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan serta mendengar ceramah yang bermanfaat.

Bersempena dengan ulang tahun Singapura yang ke-59, satu karnival anjuran Jangkauan Pekerja Domestik Perikatan (Adeo), telah diadakan di SowCare@Armenian di kawasan City Hall, untuk meraikan sumbangan pembantu rumah migran (MDW).

“Saya berasa gembira dan seronok menyertai kesemua aktiviti yang disediakan. Saya juga telah berbelanja di pasar lambak,” ujar beliau, salah seorang daripada 500 pekerja dari pelbagai negara, yang menghadiri acara tersebut.

Cik Ade Halimah yang berasal dari Jawa Barat, Indonesia, meluahkan hasratnya untuk terus menyertai acara sebegini pada masa akan datang.

Antara kegiatan yang disediakan termasuk stesen permainan, manikur, mengait, membuat kad dan persembahan hiburan di jalanan atau busking.

Reruai pasar lambak juga diadakan di situ, dengan pakaian dijual pada harga serendah $2.

Dalam ucapannya, Presiden Hope Initiative Alliance (HIA), Reverend Ezekiel Tan berkata:

“Pembantu rumah migran adalah sebahagian kumpulan penting dalam masyarakat kita.

“Mereka telah meninggalkan orang tersayang untuk menetap dan bekerja di Singapura, membantu membina kehidupan yang lebih baik untuk diri mereka dan keluarga majikan di Singapura.”

Turut hadir memeriahkan acara karnival tersebut ialah Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang.

Di acara itu, para MDW turut berpeluang memenangi hadiah wang tunai cabutan bertuah sehingga $1,000, dan menikmati sajian tempatan seperti rojak dan karipap.

Terdapat juga ceramah mengenai saluran WhatsApp Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Care Sisters serta antipenipuan dan pinjaman wang tanpa lesen oleh Pasukan Polis Singapura (SPF).

“Melalui aktiviti ini, kami menyepadukan pekerja migran dalam majlis-majlis penting yang secara tradisinya eksklusif kepada masyarakat Singapura.

“Acara ini menawarkan penduduk tempatan dan pekerja migran —tidak kira bangsa, bahasa atau agama—peluang untuk menikmati kebersamaan di Singapura,” tambah Rev Tan yang telah menekankan bahawa tema Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini selaras dengan misi HIA dalam mengurangkan jarak sosial antara masyarakat tempatan dan pekerja migran.

Dalam hantaran Facebooknya pada 8 Ogos, Adeo turut menekankan “peranan penting masyarakat MDW dalam sambutan Hari Kebangsaan”.

“Kami berkongsi kegembiraan membina negara bersama.

“Sumbangan anda (MDW) telah membuat banyak perubahan pada keluarga Singapura,” tambahnya.

Acara tersebut dianjurkan bersama dan disokong oleh beberapa pertubuhan termasuk SowCare, cabang khidmat masyarakat The Bible Society of Singapore; Gereja Masyarakat CityLight; Persatuan Agensi Pekerjaan Singapura (AEAS); MOM; SPF; Gereja Kristian Yishun (Anglikan), Care Sisters; Clarins; Kelab Interaksi Sembawang dan Gereja Grace.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg