Sumber, bengkel percuma untuk SME di Pusat Kecemerlangan AI baru
Sumber, bengkel percuma untuk SME di Pusat Kecemerlangan AI baru
Syarikat-syarikat Kecil dan Sederhana (SME) boleh menghadiri bengkel dan mendapatkan sumber berkaitan kecerdasan buatan (AI) secara percuma di Pusat Kecemerlangan AI baru yang dilancarkan pada 14 April.
Pusat SME@AiTE ini ditubuhkan oleh Persatuan SME (Asme) dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Presiden Asme, Encik Ang Yuit, berkata dengan penggunaan AI, SME di negara-negara jiran berpotensi menghasilkan pengeluaran yang mampu menyaingi mutu tenaga kerja Singapura.
Perkara ini bukan sahaja melibatkan penulisan iklan dan reka bentuk grafik, bahkan bidang seperti analisis data, nasihat perundangan dan kejuruteraan perisian, tambah Encik Ang.
“Oleh itu, SME di Singapura perlu mengadaptasi teknologi AI dengan lebih mendalam untuk terus berjalan seiring dengan inovasi global.”
Pusat baru ini menyediakan “persekitaran bebas risiko bagi SME untuk mencuba penyelesaian AI”, dengan membolehkan mereka memahami penggunaannya sebelum beralih kepada penyelesaian AI yang disesuaikan dengan perniagaan mereka, jelas Encik Ang.
Pusat ini turut menawarkan sumber AI yang boleh dimuat turun secara percuma bagi membantu pekerja yang mempunyai tahap celik digital yang rendah, lapor The Business Times (BT).
Ini termasuk ejen AI sumber manusia (HR) berbilang bahasa yang boleh memberi jawapan secara automatik bagi pertanyaan berkaitan pengambilan pekerja; ‘avatar’ yang boleh berinteraksi dengan pengguna media sosial; serta AI yang dilatih untuk melakukan ‘pendengaran sosial’ bagi mendapatkan maklumat mendalam daripada data.
SME boleh memuat turun dan mencuba sumber itu dalam bengkel praktikal percuma yang dianjurkan oleh pusat berkenaan.
Bengkel itu disesuaikan mengikut sektor, merangkumi industri makanan dan minuman (F&B), sumber manusia, perakaunan, peruncitan, kejuruteraan dan logistik.
Dua bengkel telah pun dijadualkan, dan terdapat perancangan menambah kekerapan bengkel kepada setiap sebulan atau setiap dua minggu.
Bengkel pertama memperkenalkan ‘Capabara’, sebuah platform tanpa kod yang membolehkan SME membina aliran kerja tersendiri yang disokong AI.
Dalam bengkel kedua, SME boleh menghasilkan video menggunakan penyelesaian sedia ada yang menjana video, watak, alih suara dan muzik berasaskan AI.
Bengkel-bengkel akan datang bakal memperkenalkan penyelesaian AI lain dalam bidang seperti pengambilan pekerja, logistik, perakaunan dan analisis data.
Selain membantu SME, pusat itu juga akan mengumpul data mengenai penggunaan AI dalam situasi sebenar serta cabaran yang dihadapi oleh para pengguna.
Asme akan menggunakan data itu dan mengongsinya dengan agensi pemerintah untuk merangka inisiatif dan dasar AI pada masa hadapan.
Dengan kerjasama bersama ITE, pusat ini juga akan menjadi platform bagi meningkatkan peluang pekerjaan buat golongan belia.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ITE, Cik Low Khah Gek, berkata kerjasama itu akan memperkasa pelajar dengan kemahiran masa depan menerusi pendedahan kepada penyelesaian perniagaan berasaskan AI melalui latihan amali dan penempatan industri bersama SME.
“Kerjasama ITE-ASME ini akan mewujudkan ekosistem yang menyokong inovasi,” kata Cik Low.

