Topik diikuti
Pergi ke BHkuSumber industri penerbangan: SIA dalam rundingan tempah lebih 50 jet baru
Sumber industri penerbangan: SIA dalam rundingan tempah lebih 50 jet baru
Syarikat penerbangan S’pura tinjau pilihan model terbesar Boeing 777X atau Airbus A350-1000 lebih kecil
Sumber industri penerbangan: SIA dalam rundingan tempah lebih 50 jet baru
PARIS: Singapore Airlines (SIA) sedang berunding dengan Airbus dan Boeing untuk membeli sekurang-kurangnya 50 jet terbesar dalam industri, sementara mereka merancang fasa pertumbuhan seterusnya mulai dekad selanjutnya, kata dua sumber industri.
Syarikat penerbangan Asia Tenggara itu sedang meninjau mendapatkan lebih banyak pesawat Boeing 777X, yang mempunyai 400 tempat duduk, model semasa terbesar industri, atau memilih pesawat Airbus A350-1000 yang lebih kecil, kata mereka.
Perbualan, bagaimanapun, masih pada peringkat awal, tetapi boleh mencakupi pilihan puluhan jet lagi.
SIA memberitahu agensi berita Reuters ia sentiasa menyemak semula rancangan pembaharuan armadanya secara berkala tetapi enggan mengulas mengenai “sebarang perbincangan sulit yang mungkin atau tidak mungkin sedang dijalankan”.
Airbus dan Boeing, dalam pada itu pula, enggan mengulas.
SIA merupakan antara pembeli terbesar jet jarak jauh, dengan ia dikenali sebagai syarikat yang menjalankan rundingan pembelian pesawat secara teliti dan penuh rahsia, yang boleh mempengaruhi keputusan berkaitan armada di seluruh dunia.
Ia juga menambah pada Mei, pihaknya akan terus mengembangkan kapasiti walaupun beberapa pesaing telah mengurangkan penerbangan pesawat disebabkan harga minyak lebih tinggi.
Syarikat penerbangan itu adalah pengendali lama pesawat mini jumbo Boeing 777 dan merupakan pelanggan awal bagi pengganti 777X, yang telah mengalami kelewatan yang ketara.
Rundingan di Singapura itu juga boleh membantu pengeluar, terutamanya Airbus, untuk menilai permintaan bagi varian pesawat yang lebih besar dan masih di peringkat perancangan, kata sumber tersebut.
Airbus berkata pada 2025, ia sedang mempertimbangkan model A350 yang lebih besar, yang digelar A350-2000, untuk bersaing secara lebih langsung dengan 777X, walaupun telah memperkecil laporan yang menyatakan projek tersebut akan dilancar dalam masa terdekat.
Ia juga kali pertama mengutarakan idea tersebut sedekad lalu ketika Boeing sedang mempertimbangkan rancangan peluasan model 777X miliknya sendiri.
Boeing bersetuju mengkaji semula usaha meninjau pesawat lebih besar selepas Emirates menempah lebih banyak 777X pada November 2025, lantas Boeing dikatakan perlu berhati-hati, memandangkan permintaan yang terhad untuk jumbo baru dan tumpuan kepada pemulihan industri. – Reuters.
