Bayaran tambahan, atau surcaj, lokasi bagi perkhidmatan teksi dari Lapangan Terbang Changi dan tarikan Mandai Wildlife Reserve, yang diperkenal sebagai langkah sementara pada 2022, akan menjadi surcaj tetap mulai 1 Julai.
Ini bermakna penumpang yang menaiki teksi dari Lapangan Terbang Changi, Pusat Pengangkutan Lapangan Terbang Changi, Balai Polis Lapangan Terbang dan Taman Logistik Lapangan Terbang Singapura akan terus membayar surcaj $8 dari 5 petang hingga 11.59 malam, atau tambahan $6 pada masa-masa lain.
Bagi khidmat teksi dari Taman Haiwan Singapura, Safari Malam, River Wonders dan Bird Paradise, penumpang perlu membayar surcaj jika menaiki teksi antara 1 tengah hari dengan 11.59 malam, dengan bayaran itu akan dinaikkan kepada $5.
Buat masa ini, surcaj $3 dikenakan apabila penumpang menaiki teksi di Mandai Wildlife Reserve.
Langkah mengekalkan surcaj itu diumumkan pada 24 Jun di laman Facebook pengendali teksi terbesar Singapura, ComfortDelGro, dan syarikat teksi Strides Premier.
Dua lagi pengendali teksi, Trans-Cab dan Prime, mengumumkan langkah itu dalam notis yang diterbitkan dalam akhbar, The Business Times, pada 24 Jun.
Dalam jawapannya kepada pertanyaan media, jurucakap ComfortDelGro berkata:
“Surcaj lokasi untuk teksi dikenakan oleh pertubuhan yang menguruskan kawasan tersebut, bukan ditetapkan oleh syarikat teksi.”
“Pertubuhan ini perlu memaklumkan kepada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sebelum melaksanakan atau membuat sebarang perubahan kepada surcaj,” tambah jurucakap itu.
Diperkenalkan buat kali pertama pada Mei 2022, kenaikan surcaj lokasi untuk perjalanan teksi dari Lapangan Terbang Changi berlaku berikutan keengganan pemandu teksi pergi ke lapangan terbang itu untuk mengambil penumpang.
Ini berlaku walaupun terdapat peningkatan dalam perjalanan udara antarabangsa selepas pandemik Covid-19.
Sebelum itu surcaj ialah $5 pada Jumaat, Sabtu dan Ahad dari 5 petang hingga 11.59 malam, dan $3 pada masa-masa lain.
Pada ketika itu, pemandu teksi berkata lebih banyak pendapatan boleh diraih di Kawasan Pusat Bandar (CBD) dan pada waktu malam.
Ditambah dengan kos bahan api yang meningkat, pemandu teksi memberitahu akhbar, The Straits Times, mereka berasa tiada sebab untuk memandu ke lapangan terbang, kerana mereka mungkin berdepan dengan masa menunggu yang lama.
Dengan menaikkan surcaj lokasi sebanyak $3, diharapkan ia akan menarik lebih ramai pemandu teksi ke Changi.
Pada mulanya, kenaikan surcaj itu disifatkan sebagai kenaikan sementara dan sepatutnya dilaksana selama enam minggu sahaja.
Bagaimanapun, kenaikan sementara ini telah dilanjutkan beberapa kali, dengan lanjutan terkini dijangka berakhir pada 30 Jun.
Begitu juga, surcaj lokasi untuk menaiki teksi dari tarikan di Mandai Wildlife Reserve diperkenalkan pada Ogos 2022 sebagai langkah sementara.
Ia juga dilanjutkan beberapa kali sepanjang dua tahun lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg