Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) telah melancarkan satu rundingan awam bagi mendapatkan maklum balas terhadap cadangan pindaan garis panduan persaingannya.
“Pindaan itu mengambil kira pandangan pihak berkepentingan dan perubahan peraturan di dalam dan luar negara bagi membantu perniagaan memahami prosedur CCCS dengan lebih jelas,” kata badan tersebut pada 27 Oktober
Cadangan tersebut dibuat menyusuli semakan berkala terhadap garis panduan di bawah Akta Persaingan 2004, yang menjelaskan rangka kerja yang digunakan dalam penguatkuasaan akta tersebut, jelas CCCS.
Menurut CCCS, semakan seperti ini dijalankan dari semasa ke semasa untuk memastikan peraturan Singapura kekal jelas, tidak membebankan perniagaan, dan mengekalkan kecekapan pasaran.
Melalui semakan ini, CCCS terutamanya ingin mendapatkan maklum balas awam mengenai dua pindaan utama yang dicadangkan.
Menurut The Business Times (BT), CCCS mencadangkan garis panduan baru bagi prosedur penyelesaian untuk menggantikan prosedur pantas sedia ada. Ia juga mencadangkan pindaan terhadap garis panduan penggabungan.
Selain itu, CCCS juga memohon maklum balas mengenai pindaan susulan terhadap garis panduan lain yang berkaitan dengan dua pindaan utama tersebut.
Pindaan kepada garis panduan penggabungan ini bertujuan memastikan CCCS terus berjalan dengan lancar dan berkesan.
Proses pemberitahuan juga akan dipercepat tanpa menjejas ketelitian penilaian.
Bagi meningkatkan proses pemberitahuan, CCCS akan memperkenalkan laluan penilaian penggabungan yang lebih ringkas.
Langkah itu akan mempercepat penilaian bagi kes yang tidak menimbulkan isu persaingan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg