Seorang lelaki yang didakwa membunuh seekor kucing dan menikam empat lagi di Toa Payoh telah didakwa pada 16 Julai atas pertuduhan menyeksa seekor lagi kucing di kawasan tersebut.
Ryan Tan Yi Bin, 26 tahun, berada di koridor di Blok 15 Lorong 7 Toa Payoh pada 13 Mac, di mana dia didakwa mendera seekor kucing berwarna coklat cerah.
Dia didakwa menarik ekor kucing itu, menghentaknya ke dinding sebanyak tiga kali, kemudian membiarkannya jatuh ke lantai.
Tindakan itu telah menyebabkan kucing tersebut berdarah dari mulut dan hidung, lapor The Straits Times.
Dokumen mahkamah tidak mendedahkan sama ada kucing itu dapat diselamatkan atau tidak.
Dengan pertuduhan tambahan atas kekejaman terhadap haiwan pada 16 Julai, lelaki warga Singapura itu kini didakwa mendera enam ekor kucing secara keseluruhan.
Tan juga dikatakan telah menikam empat kucing tersebut.
Dia berada di Blok 38 Lorong 5 Toa Payoh pada 21 September 2024 apabila dia didakwa menikam seekor kucing berwarna jingga dan putih, menyebabkan luka sepanjang kira-kira 5cm.
Keesokan harinya, dia didakwa menikam tiga ekor kucing lagi – seekor di Blok 36 Lorong 5 Toa Payoh dan dua lagi di Blok 200 Toa Payoh North.
Dokumen mahkamah tidak mendedahkan butiran mengenai senjata yang digunakan atau sama ada keempat-empat kucing itu dapat diselamatkan daripada serangan tersebut.
Menurut rekod mahkamah, Tan telah direman sejak 14 Mac – sehari selepas dia didakwa menyeksa kucing keenam.
Sejak itu, dia tidak ditawarkan ikat jamin. Kesnya akan disebut semula pada 20 Ogos.
Pertama kali dia didakwa atas kesalahan kekejaman terhadap haiwan adalah pada 8 Oktober 2024, melibatkan seekor kucing bernama Field Field.
Pada 7 Oktober tahun tersebut, dia didakwa menendang kucing itu, memijak kepalanya berulang kali di dalam lif, dan kemudian mencampakkannya dari tingkat 34 Blok 78 Lorong Limau, berhampiran Whampoa Road, menyebabkan kucing itu mati.
Pesalah kali pertama atas kesalahan kekejaman terhadap haiwan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 18 bulan dan didenda sehingga $15,000.
Pesalah berulang boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan didenda sehingga $30,000.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg