Topik diikuti
Pergi ke BHkuSwee Keat ganti ESM Goh sebagai Penaung baru IRO mulai 1 Sep
ESM Goh telah galas peranan itu sejak 2018
Mantan Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, akan menyandang jawatan sebagai Penaung baru bagi Pertubuhan Antara Agama (IRO), Singapura mulai 1 September.
Encik Heng, yang juga Pengerusi Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF), mengambil alih jawatan itu daripada Menteri Kanan Emeritus (ESM), Encik Goh Chok Tong, yang telah berkhidmat sebagai Penaung sejak 2018.
Upacara penyerahan jawatan tersebut telah diadakan sempena majlis Sambutan Hari Kebangsaan IRO, yang diadakan di Hotel The Fullerton pada 30 Ogos.
Acara tersebut turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan) Encik Gan Kim Yong, sebagai tetamu kehormat.
Mengulas mengenai peranan baharunya, Encik Heng berkata IRO merupakan salah satu kekuatan terbesar Singapura yang menyatukan pemimpin dan penganut agama yang berbeza untuk membina kepercayaan, persahabatan dan persefahaman.
“Sedang saya mengambil alih jawatan Penaung ini, izinkan saya menzahirkan rasa hormat yang mendalam kepada mereka yang telah memupuk legasi ini selama beberapa dekad.
“Marilah kita komited untuk bekerjasama bagi memperkukuh keharmonian kita dan memastikan ia kekal sebagai sumber harapan dan keyakinan untuk generasi akan datang,” kata Encik Heng.
Ditubuhkan pada 1949, IRO merupakan organisasi antara agama tertua di Singapura, yang menghimpun wakil daripada sepuluh agama untuk memupuk persefahaman bersama, persahabatan dan kerjasama melalui dialog, pendidikan dan penglibatan masyarakat.
Lebih 300 pemimpin agama, wakil pemerintah, rakan kongsi masyarakat dan rakan IRO menghadiri acara tersebut bagi meraikan komitmen berterusan Singapura terhadap keharmonian kaum dan agama.
Encik Goh berkata keharmonian agama Singapura tidak pernah berlaku secara kebetulan, tetapi melalui hasil daripada kepercayaan, persahabatan dan komitmen bersama yang dibina selama beberapa dekad merentasi pelbagai masyarakat agama.
“IRO telah menjadi bahagian penting dalam perjalanan ini. Saya amat berbesar hati untuk berkhidmat sebagai Penaung IRO dan menyaksikan semangat saling menghormati yang berkekalan ini,” kata Encik Goh.
“Sedang saya menyerahkan jawatan Penaung kepada Encik Heng Swee Keat, saya yakin bahawa IRO akan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan keharmonian agama kita yang berharga untuk generasi akan datang.”
Presiden IRO, Encik Sengkuttuvan Kanniyappan, turut memberi penghormatan kepada Encik Goh atas “sokongan teguh” beliau sebagai Penaung, dan mengalu-alukan Encik Heng sebagai Penaung baru yang akan “memulakan lembaran baharu” bagi badan antara agama itu.
“Selama lebih tujuh dekad, IRO telah menyatukan masyarakat agama dalam kepercayaan bersama bahawa persefahaman dibina melalui persahabatan, dialog dan khidmat masyarakat.
“Bersatu dalam tujuan, kita akan terus memperkukuhkan ikatan yang memastikan keharmonian Singapura terus berkekalan,” kata Encik Kanniyappan.
