Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Swipe’, saring, ragu: Mengapa susah cari jodoh sekarang?
‘Swipe’, saring, ragu: Mengapa susah cari jodoh sekarang?
Tinjauan BM: Ramai rela cuba wadah baru temui calon; Pakar: Kian ramai anggap perkahwinan pelengkap, bukan matlamat hidup
‘Swipe’, saring, ragu: Mengapa susah cari jodoh sekarang?
Ramai anak muda berkata mereka berdepan cabaran membuat pilihan dalam landskap mencari jodoh yang semakin kompleks. Tekanan kos hidup, jangkaan yang berubah dan pengaruh dunia digital menjadikan perkahwinan bukan lagi laluan biasa, tetapi satu keputusan yang memerlukan pertimbangan mendalam. Ikuti laporan BERITA MINGGU di muka 8 hingga 11.
Walaupun bujang Melayu/Islam di Singapura berkata mereka menghadapi kesukaran mencari pasangan serasi, mereka rela mencuba wadah baru mencari jodoh selain aplikasi ‘dating’ yang popular pada zaman ini.
Demikian antara dapatan tinjauan Berita Minggu (BM) baru-baru ini melibatkan hampir 80 individu berusia antara 18 hingga 35 tahun yang belum berkahwin.
Seramai 66.7 peratus menyatakan mereka lebih selesa berkenalan melalui cadangan rakan-rakan, manakala 37.2 peratus terbuka untuk mencuba kepada perkhidmatan padanan jodoh.
Selain itu, ada yang bersedia mencuba sesi ‘speed dating’ atau janji temu berkumpulan yang dianjurkan secara profesional.
Seramai 84.6 peratus responden berkata kesukaran mencari pasangan serasi ialah cabaran paling ketara, diikuti kekurangan peluang sosial untuk berkenalan (47.4 peratus), serta faktor kos sara hidup (42.3 peratus).
Pada dasarnya, walaupun akses dan pilihan kelihatan semakin luas, ramai anak muda sebenarnya berdepan dilema dari segi keinginan, proses pemilihan dan membuat keputusan, kata pakar.
Perkahwinan dianggap bukan lagi matlamat hidup, tetapi pelengkap
Ini lebih-lebih lagi sedang perkahwinan kini tidak lagi dianggap langkah automatik selepas tamat pengajian, menurut Pendidik Perkahwinan & Jurulatih Hubungan, Dr Rasimah Jar, 58 tahun.
Dapatan tinjauan BM turut menyokong kenyataan ini dengan menunjukkan 46.2 peratus responden berasa sedikit tekanan untuk berkahwin, 35.9 peratus tidak merasakannya langsung, manakala hanya 12.8 peratus mengakui tekanan kuat datang daripada keluarga atau rakan-rakan.
“Ia tidak lagi dilihat sebagai permulaan kehidupan dewasa, sebaliknya menjadi ‘pelengkap terakhir’ yang hanya dipilih apabila seseorang merasakan hidupnya sudah stabil dan lengkap,” kata Dr Rasimah.
Di peringkat nasional, jumlah perkahwinan pada 2025 ialah 24,687, merosot 6.2 peratus daripada 26,328 pada 2024, menurut perangkaan Jabatan Statistik.
Kemerosotan tersebut ketara, kata pakar, sedang ia dijangka menjejas Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) Singapura yang terus menyaksikan kemerosotan, lapor The Straits Times.
Jumlah perkahwinan Islam pula merosot daripada 5,184 pada 2024 kepada 5,005 pada 2025, menurut laman Jabatan Statistik.
Bahkan, jumlah perkahwinan Islam pada 2025 adalah yang terendah sejak 2014.
Dr Rasimah berkata ramai yang menganggap perkahwinan kini bukan lagi satu norma, tetapi satu pilihan yang disengajakan.
“Fenomena ‘intentional dating’ semakin ketara, iaitu individu menjadi lebih selektif kerana kos membuat pilihan yang salah dirasakan lebih tinggi berbanding dahulu. Anak muda hari ini tidak lagi bertanya ‘bila hendak berkahwin?’, tetapi lebih kepada ‘adakah ini sesuai untuk saya?’,” jelas beliau.
Namun begitu, pengasas aplikasi padanan jodoh Peas in a Pod Encik Mohd Azhar Aziz, 35 tahun, berkata kaum lelaki cenderung untuk kurang rasa terasa tekanan untuk berkahwin berbanding wanita.
“Kaum wanita mungkin berasa lebih terdesak kerana peningkatan usia mengurangkan peluang realistik untuk mendapatkan anak.”
Dari ‘swipe’ ke realiti
Apabila individu mula bersedia untuk mencari pasangan, cabaran lain pula menanti.
Encik Azhar berkata perubahan paling ketara hari ini ialah cara perkenalan itu sendiri berlaku.
“Anak muda kini cenderung menggunakan pendekatan komunikasi hibrid – bermula dengan mesej atau aplikasi untuk melihat keserasian sebelum bertemu secara bersemuka,” jelas beliau. “Ini sangat berbeza berbanding sedekad lalu.”
Namun, kemudahan ini turut hadir dengan cabaran tersendiri. Ramai selesa berkomunikasi di alam maya, tetapi berdepan kesukaran apabila beralih kepada interaksi sebenar.
“Ada yang boleh ‘vibe’ melalui teks, tetapi apabila bertemu, mereka sukar membawa perbualan. Situasi bersemuka memerlukan sikap spontan – dan ini menjadi satu cabaran besar, terutama bagi mereka yang terbiasa dengan komunikasi digital sejak pandemik,” tambah beliau.
Pemerhatian Cik Anisa Hassan, pengasas Date High Flyers International yang dianggap Pakar Padanan Jodoh dan Penasihat Pemilihan Pasangan Terkemuka Asia, pula menunjukkan budaya ‘swipe’ lebih mengutamakan tarikan segera berbanding keserasian jangka panjang.
“Individu dinilai seperti produk, dan markah diberikan secara tidak wajar berdasarkan luaran,” katanya.
Beliau menambah: “Saya sering mengingatkan bahawa ciri-ciri penting seperti kebaikan hati, kematangan emosi, kejujuran dan kesetiaan tidak dapat dilihat melalui aplikasi atau platform janji temu. Apa yang kelihatan menarik dalam jangka pendek tidak semestinya membawa kepuasan dalam jangka panjang.”
Persetujuan ibu bapa juga dianggap sangat penting dengan 44.9 peratus responden memilih untuk tidak berkahwin melainkan dengan restu orang tua, manakala 26.9 peratus sanggup memutuskan perhubungan.
Encik Azhar menambah penekanan terhadap peranan keluarga, dengan kebanyakan individu ingin memastikan calon pasangan (terutamanya wanita) diteliti dengan rapi oleh ahli keluarga.
“Ini menunjukkan penglibatan keluarga yang lebih besar serta jangkaan keluarga yang tinggi, khususnya dalam konteks budaya dalam masyarakat Muslim.”
Jangkaan baharu: lebih daripada sekadar stabil
Sebanyak 76.3 peratus responden wanita percaya bahawa kos sara hidup memainkan peranan yang kuat (daripada sederhana hingga sangat penting) dalam mempengaruhi keputusan perkahwinan. Ini menunjukkan kebimbangan ekonomi masih menjadi isu utama, namun jangkaan terhadap pasangan kini lebih menyeluruh.
“Dulu, pekerjaan yang stabil sudah memadai,” kata Encik Azhar. “Hari ini, wanita mencari lelaki yang mempunyai ‘growth mindset’ – pemikiran sentiasa mahu berkembang, bukan sahaja dalam kerjaya tetapi juga dari segi agama, hobi dan peribadi.”
Namun, jangkaan yang semakin tinggi ini kadangkala tidak selari dengan realiti hubungan.
Menurut Cik Anisa, golongan bujang secara umumnya mencari kecerdasan emosi, kestabilan kewangan dan tarikan fizikal – kesemuanya jangkaan yang munasabah, tetapi sering dipengaruhi pemikiran kesempurnaan serta media sosial yang tidak berkonteks.
“Masalahnya bukan jangkaan itu sendiri, tetapi jangkaan yang tidak selari. Ramai mahukan segalanya: kestabilan, emosi, tarikan fizikal – tanpa menilai sama ada mereka sendiri mampu menyokong hubungan seperti itu,” katanya.
Beliau turut menambah, individu berprestasi tinggi cenderung mempunyai pemikiran kesempurnaan, manakala media sosial pula sering menaikkan piawaian tanpa konteks yang jelas.
“Sebagai contoh, saya sering bertemu wanita berkerjaya tinggi yang mengatakan mereka mencari lelaki yang mampu memimpin. Namun pada masa yang sama, mereka sangat mengawal dalam membuat keputusan, menggelarkan diri sebagai ‘sangat berdikari’ dan sukar untuk menyerah atau mempercayai orang lain.”
Dr Rasimah pula berpandangan bahawa pendedahan kepada naratif global tentang kebebasan dan pencapaian diri, serta peningkatan keterlihatan perceraian dan perkahwinan tidak sihat, turut membentuk persepsi bahawa perkahwinan adalah sesuatu yang berisiko.
“Ini menyebabkan mereka melihat walaupun perkahwinan yang kelihatan baik pun boleh gagal, lalu mewujudkan sikap lebih berhati-hati dan mengelak risiko. Generasi sekarang lebih sedar, dan lebih berhati-hati sebelum membuat komitmen jangka panjang,” jelas beliau.
Walau sukar, orang muda tetap berusaha
Dapatan tinjauan BM juga mencerminkan perubahan dalam cara komuniti melihat perkenalan, dengan usaha untuk mengimbangi pendekatan moden dan kaedah yang lebih berstruktur serta berlandaskan nilai.
Sedang sekitar separuh daripada responden melaporkan pernah menggunakan aplikasi ‘dating’, mereka juga cenderung dipadankan oleh rakan atau khidmat padanan jodoh (match-making).
Ada pula yang terbuka menyertai sesi seperti kaedah ‘speed dating’, yang kini turut menarik perhatian belia.
Baru-baru ini, The Modest Match (TMM) – organisasi yang ditubuhkan pada 2025 untuk menyediakan ruang bagi individu bujang, khususnya Muslim mencari pasangan hidup – menganjurkan acara ‘Singes Social’ pada 18 April.
Acara tersebut merupakan sesi pertemuan berkumpulan yang singkat tetapi intensif di ruang pejabat Hive Carpenter selama tiga jam.
Seramai 46 individu berusia antara 26 dengan 40 tahun hadir dengan harapan untuk bertemu jodoh.
TMM ditubuhkan oleh tiga rakan, Cik Shahirah Yani, Cik Liyena Yusoff dan Cik Ayuni Suhaimi yang melihat adanya jurang dalam penyediaan perkhidmatan sedemikian khususnya dalam kalangan Muslim di Singapura.
Kini, sebanyak sembilan acara telah dianjurkan, termasuk aktiviti berunsur sukan.
Menurut seorang peserta acara TMM, Encik Muhamad Abdul Hakim, keinginannya untuk menyertai acara sedemikian berpunca daripada rasa ingin tahu terhadap konsep acara tersebut yang tertumpu kepada perkenalan dalam kalangan Muslim.
Baginya, pendekatan ini terasa segar dan lebih selesa kerana peserta berkongsi nilai dan pegangan agama yang sama.
“Saya pernah gunakan aplikasi ‘dating’ hampir tiga tahun. Walaupun ia memudahkan proses berkenalan dan memberi banyak pilihan, saya rasa hubungan yang terjalin sering kurang autentik.
“Kebanyakannya kekal sebagai perbualan dalam talian tanpa kesinambungan yang bermakna. Malah, apabila bertemu secara bersemuka, interaksi menjadi janggal kerana kurangnya hubungan sebenar yang dibina sejak awal,” katanya yang berusia 32 tahun.
Tekanan dan jangkaan sosial, selain kurangnya interaksi bersemuka, serta isu seperti identiti palsu atau ‘catfish’ juga menambahkan keraguan dalam proses mengenali seseorang.
Secara keseluruhan, beliau berasa dunia perkenalan hari ini menjadi lebih mencabar berbanding dahulu.
Pengaruh media sosial yang membentuk jangkaan tidak realistik, serta keutamaan terhadap kestabilan kewangan dan kerjaya sering menyebabkan ramai menangguhkan perkahwinan.
Kini, Encik Hakim juga merupakan seorang fasilitator di acara TMM bagi membantu para peserta yang hadir.
Beliau turut menyaksikan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh mereka, termasuk sifat malu, takut dan introvert yang menghalang mereka daripada berinteraksi dengan lebih terbuka.
Malah, tinjauan BM mendapati sebanyak 84.6 peratus bujang juga akui mereka sukar mencari pasangan yang serasi pada zaman ini dan seramai 83.3 peratus mengutamakan personaliti yang baik sebagai ciri utama dalam memilih pasangan.
“Ramai juga hadir dengan ‘checklist’ dan standard yang terlalu tegar, sehingga mengehadkan peluang untuk mengenali individu yang berpotensi,” kata Encik Hakim, yang bekerja di sektor kewangan.
“Ada juga dalam kalangan peserta yang kurang kemahiran sosial atau tidak bersedia untuk mencuba pendekatan baru dalam perkenalan,” tambahnya.
Naib Kadi Ustaz Lukmannul Hakeem Ahmad pula berkata: “Harapan yang terlalu tinggi merupakan cabaran hari ini, dengan kehidupan yang serba mewah serta latar belakang keluarga yang berbeza, maka mereka mungkin memilih untuk tidak meneruskan perkahwinan.
“Namun, tiada istilah ‘lelaki sempurna’ atau ‘wanita sempurna’, apa yang perlu dilakukan adalah kedua-duanya berusaha ke arah kesempurnaan rumahtangga,” katanya.
