Selepas hampir dua dekad di ERA Realty Network, ejen hartanah, Encik Muhammad Syafiq Mohd Esa, atau lebih dikenali sebagai Syafiq Focus, kini telah berpindah ke syarikat Huttons – menggabungkan kepakaran dan pengetahuannya dalam pasaran jualan semula flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bersama kekuatan Huttons dalam segmen hartanah privet.
Beliau membawa bersamanya sekumpulan 70 ejen daripada ERA di bawah sayapnya ke Huttons, dengan gabungan sekumpulan 30 ejen daripada PropNex yang diterajui Encik Mustaffa Batisah, atau lebih dikenali sebagai Mus, untuk membentuk antara kumpulan ejen Melayu/Islam terbesar di dalam perusahaan itu.
Dinamakan RTDFocusGroup, kumpulan ejen Melayu/Islam itu diketuai Encik Syafiq, dengan 10 pengarah daerah di bawah kepimpinannya.
Kumpulan RTDFocusGroup itu pula berada di bawah pasukan Rex Tan Division (RTD) – yang diketuai Encik Rex Tan, Pengarah Daerah Kumpulan Eksekutif.
Bercakap dengan Berita Harian (BH), Encik Syafiq berkongsi bahawa keputusan berpindah ke Huttons itu adalah supaya kumpulan ejennya mempunyai lebih banyak peluang berkembang maju dalam industri itu, di samping meneroka pasaran hartanah privet.
“Ini terutamanya dengan rangka kerja klasifikasi flat Standard, Plus dan Prime yang diperkenalkan HDB,” kata beliau, yang merupakan Pengarah Daerah Kumpulan Kanan di Huttons.
“Dengan Tempoh Penginapan Minimum (MOP) 10 tahun bagi flat Plus dan Prime, kami menjangkakan kadar flat jualan semula yang masuk dalam pasaran akan berkurangan pada masa depan kerana ia akan mengambil masa lebih lama.
“Oleh itu, kita perlu bersiap sedia sekarang dan meneroka pasaran hartanah privet.
“Dengan itu, kami dapat berkhidmat merentas dua jenis pasaran, iaitu kedua-dua hartanah privet dan flat jualan semula,” tambah beliau.
Encik Syafiq menambah, langkah berpindah ke Huttons – yang terkenal kerana kekuatan mereka dalam segmen hartanah privet dan pelancaran hartanah privet baru – dilakukan tepat pada masanya, memandangkan permintaan dalam kalangan pembeli Melayu/Islam kian meningkat sejak beberapa tahun lalu.
Trend itu diperhatikannya apabila beliau berpeluang menerajui projek penjualan unit kondominium Treasure at Tampines dan Kondominium Eksekutif (EC) Tenet sebelum ini, dan beliau melihat ramai pasangan muda Melayu/Islam membeli rumah privet.
“Kita lihat ramai orang Melayu yang mampu beli rumah privet hari ini. Oleh sebab itu, ejen hartanah perlu bina pengetahuan dalam segmen hartanah privet juga supaya kami boleh berkhidmat kepada golongan ini,” kata beliau.
Kedatangan kumpulan sekitar 100 ejen majoriti Melayu/Islam itu – hasil gabungan kumpulan Encik Syafiq daripada ERA dan kumpulan Encik Mus daripada PropNex – menerima sambutan baik oleh pasukan Huttons yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Encik Mark Yip.
Bahkan, Encik Syafiq juga amat berterima kasih kepada Huttons kerana turut menyediakan ruang solat khusus bagi ejen hartanah Melayu/Islam tersebut.
“Mereka benar-benar mengalu-alukan kedatangan kami dan banyak memberi peluang kepada kami.
“Saya berharap kami dapat saling membantu satu sama lain untuk terus berkembang maju,” kata beliau, sambil melahirkan harapan dapat mengembangkan pasukannya kepada sekurang-kurangnya 300 ejen dalam tempoh setahun akan datang.
Sementara itu, Encik Mus berkata beliau dan kumpulannya daripada PropNex mengambil keputusan bergabung dengan kumpulan Encik Syafiq bagi merebut peluang untuk berkembang maju dalam industri itu.
“Dengan kekayaan pengetahuan, kepakaran dan gabungan pengalaman daripada kedua-dua pihak, di samping sokongan oleh pihak pengurusan Huttons, kami merancang mencipta sejarah dengan menjadi masyarakat ejen Melayu/Islam terbesar di Huttons dan membawa jenama Huttons ke tahap yang lebih tinggi,” kata beliau.
Encik Yip pula berkata kedatangan kumpulan yang diterajui Encik Syafiq itu bertepatan waktu sedang Huttons terus berkembang dan melihat lebih ramai keluarga dari flat HDB berpindah ke hartanah privet.
“Justeru, Huttons berada dalam rasional strategik yang betul untuk mengalu-alukan Syafiq dan pasukannya. Dan yang paling penting, pasukan ini bukan pasukan baru dalam pasaran.
“Mereka pasukan mantap dalam entiti dikenali sebelum mereka menyertai Huttons,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg