Pengendali bas berpangkalan di Malaysia yang terlibat dalam kemalangan maut di Lebuhraya Utara-Selatan mempunyai lesen sah untuk menjalankan perkhidmatan bas rentas sempadan dan penjualan tiket di Singapura, menurut pihak berkuasa negara ini.
Kenyataan tersebut dibuat menyusuli pertanyaan daripada bekas rakan niaga mengenai kesahihan operasi syarikat itu, Express Senibudaya.
Dalam satu kenyataan bersama pada 21 Oktober, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) berkata mereka tahu mengenai kemalangan pada 11 Oktober itu.
LTA dan STB turut mengesahkan bahawa Express Senibudaya memegang lesen sah daripada LTA untuk mengendalikan perkhidmatan rentas sempadan.
Senibudaya juga dibenarkan menjalankan operasi penjualan tiket melalui ejen tiket, Leo City Coach, menurut jurucakap LTA dan STB.
Leo City Coach memegang lesen ejen pelancongan sah daripada STB untuk beroperasi di Singapura dan menyediakan khidmat penjualan tiket.
“Pengendali bas mempunyai kebebasan untuk melantik atau menukar ejen tiket mereka melalui perjanjian komersial.
“Kami difahamkan terdapat perbincangan komersial antara Super Nice Express Pte Ltd dengan Express Senibudaya mengenai pengurusan penjualan tiket. Ini merupakan perkara komersial di luar bidang kuasa kawal selia kami,” jelas jurucakap itu.
Meskipun bas yang terlibat dalam kemalangan itu menggunakan jenama dan logo syarikat pengangkutan Super Nice Express, ia dikendalikan oleh Express Senibudaya.
Pada 11 Oktober, bas yang dalam perjalanan ke Ipoh dari Boon Lay itu telah merempuh tiang papan tanda di lebuh raya berhampiran Bangi, Selangor, pada sekitar 3 pagi.
Nahas itu mengakibatkan seorang maut dan 28 lain cedera, termasuk lima rakyat Singapura serta pemandu bas tersebut, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Pada 13 Oktober, Pengarah Urusan Super Nice Express, Encik Lee Cheng Seong, berkata perjalanan bas itu dikendalikan sepenuhnya oleh Senibudaya, mantan rakan niaganya.
Beliau menambah bahawa pihak berkuasa Singapura harus menyiasat kesahihan kegiatan penjualan tiket dan operasi Senibudaya.
Encik Lee berkata Super Nice dan Senibudaya menamatkan kerjasama pada 9 September berikutan pertikaian komersial, dan mendakwa bahawa Senibudaya telah menggunakan jenama Super Nice tanpa kebenaran atau persetujuan.
Kedua-dua syarikat berpangkalan di Malaysia itu mempunyai ibu pejabat di Pulau Pinang, namun Super Nice turut mempunyai sebuah syarikat sendirian berhad berdaftar di Singapura.
Menjawab pertanyaan media pada 15 Oktober, Senibudaya mengesahkan dakwaan Super Nice bahawa kedua-dua syarikat itu telah menghentikan kerjasama sejak September, namun ia menafikan dakwaan penggunaan jenama Super Nice secara salah.
“Sebahagian bas kami masih menggunakan logo Super Nice sebagai peninggalan daripada operasi bersama sebelum ini. Ini tidak dianggap sebagai salah guna.
“Kedua-dua Super Nice Express dan Express Senibudaya berdaftar secara tempatan dan telah beroperasi di bawah warisan korporat yang sama,” kata jurucakap Senibudaya.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata pengendali bas yang terlibat akan dipertanggungjawabkan, dengan permitnya mungkin digantung atau ditarik balik bergantung kepada hasil siasatan kementerian itu.
Jurucakap LTA dan STB menasihati penumpang supaya membeli insurans perjalanan bagi perjalanan bas mereka dan memahami terma serta syarat tempahan.
Langkah ini boleh membantu melindungi mereka daripada situasi tidak dijangka seperti kemuflisan ejen pelancongan, pembatalan perjalanan serta kemalangan.
Sekiranya berlaku kemalangan, pengguna boleh menghubungi syarikat insurans mereka untuk mendapatkan nasihat, atau mendapatkan bantuan daripada Persatuan Pengguna Singapura (Case) atau Tribunal Tuntutan Kecil.
Pengguna juga disarankan supaya membeli produk perjalanan daripada ejen pelancongan berlesen yang disenaraikan di laman web Trust STB, tambah jurucakap LTA dan STB itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg