Syarikat perkhidmatan bas Super Nice menafikan terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Malaysia pada 11 Oktober yang meragut satu nyawa dan mencederakan 28 orang, termasuk lima rakyat Singapura.
Menurut Pengarah Urusan Super Nice Express, Encik Lee Cheng Seong, perjalanan dari Boon Lay di Singapura, ke Ipoh, Perak itu, sebenarnya diuruskan oleh bekas rakan kongsi syarikat, Express Senibudaya.
“Super Nice tidak terlibat dalam pemilikan, operasi atau pengurusan bas berkenaan,” jelasnya.
Kedua-dua syarikat beroperasi di Pulau Pinang, namun Super Nice juga mempunyai syarikat berdaftar di Singapura.
Kenyataan Super Nice, buat kali pertama, dilaporkan oleh akhbar Lianhe Zaobao.
Bas ekspres berlogo Super Nice itu terbabas dan melanggar papan tanda berhampiran penanda 294km di Lebuhraya Utara-Selatan kira-kira 3 pagi.
Akibatnya, 28 penumpang termasuk pemandu cedera.
Seorang lelaki Malaysia berusia 59 tahun, yang bekerja dalam sektor pembinaan di Singapura, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Foto oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Bangi menunjukkan penyelamat mengeluarkan penumpang melalui tingkap bas.
Empat warga Singapura telah keluar dari hospital di Malaysia, manakala seorang lagi masih dirawat di Hospital Besar Ng Teng Fong di Singapura.
Encik Lee berkata Senibudaya terus menggunakan nama Super Nice tanpa kebenaran, walaupun kerjasama mereka ditamatkan pada 9 September 2025, akibat pertikaian komersial.
Super Nice telah meminta pihak berkuasa Singapura menyemak kesahihan aktiviti tiket dan operasi Senibudaya di negara ini.
“Walaupun kami tidak lagi terlibat dengan Senibudaya, kami tetap komited membantu pihak berkuasa dan memastikan ketelusan,” terangnya sambil menzahirkan kesedihan terhadap tragedi itu.
Menurut Encik Lee, hanya pengendali berlesen dan dikawal selia harus dibenarkan beroperasi supaya keselamatan dan kepercayaan awam terpelihara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg